Kredit foto: The Star
Sutradara Datuk Yusof Haslam naik angin apabila pengkritik filem kontroversi, Mansor Puteh melabelkan filem-filemnya sebagai 'sampah'!
Menurut Yusof, perangai pengarah itu masih sama seperti dahulu iaitu berhati hitam dan enggan berubah meskipun usia sudah meningkat.
Lebih menimbulkan kemarahan apabila karya anak-anaknya turut terpalit sama dan menjadi mangsa hentaman.
"Kasihan dia (Mansor), dia mahukan perhatian selepas 35 tahun menghina filem orang lain dan pada saya hati dia ini sudah hitam.
"Hina saya tidak kisah... tapi ini melarat pula ke anak-anak saya. Biar masyarakat menilai dirinya, Rupa-rupanya masih ada 'spesis' macam ini dalam negara. Kalau masih muda satu hal, ini sudah senja masih tidak berubah," kata Yusof yang dipetik daripada portal Mstar Online.
Mansor dalam kenyataan terdahulunya menerusi laman Facebook mengkritik, "Kebanyakan filem Hollywood dan filem Malaysia dan filem Yusof Haslam dan anak-anaknya sepatutnya dibuang di dalam ini (merujuk kepada gambar bakul sampah).
"Ada beberapa (filem) menimbun di sebelah dan hanya sedikit diletakkan di rak."
Sementara itu, Yusof tidak hairan dengan sikap Mansor kerana lelaki itu pernah menghina karya arahan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin dan Allahyarham Seniman Tan Sri P. Ramlee iaitu filem popular Bukit Kepong.
Pinta Yusof hanya satu, semoga pengkritik filem itu diberi petunjuk oleh Tuhan.
Malah, Yusof tidak begitu terkesan kerana dia sendiri tidak pernah mengemis pujian.
"Ia bukan perkara baru tetapi tidak mengapa semoga Allah buka pintu hatinya dan turunkan hidayah.
"Saya pun bukanlah pernah minta dipuji," katanya yang kini sedang berada di Jakarta, Indonesia.