IPOH: Polis awal pagi ini mengumumkan ia mengklasifikasikan semula siasatan kes kematian dalam tahanan dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada kematian mengejut (SDR) kepada kes bunuh.
Ia berikutan laporan bedah siasat kedua-dua mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini mendapati terdapat kecederaan dalaman pada tubuh mereka, dipercayai akibat penderaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Perak, Datuk Gan Tian Kee, berkata hasil bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa yang ditahan di bilik tahanan Unit Komunikasi TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, dipercayai berlaku penderaan yang mendatangkan kecederaan.
“Hasil bedah siasat terhadap mangsa pertama (Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28) pada jam 3.30 petang hingga 7 malam mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul.
“Bedah siasat terhadap mangsa kedua (Muhammad Lailatulman Mohd Sukri,26) pada jam 9 malam hingga 11.50 malam mendapati mangsa meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pagi ini.
Tian Kee berkata, daripada penemuan itu polis menahan tiga suspek lelaki berusia antara 29 hingga 44 tahun pada 9.30 malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
“Ketiga-tiga suspek bertugas pada jam 10 pagi hingga 10 malam kelmarin.
“Polis turut merakam kenyataan 11 pengawal yang bertugas di bilik tahanan berkenaan serta merampas set litar rakaman kamera litar tertutup (CCTV), tujuh T baton, buku log bertugas dan beberapa telefon bimbit,” katanya.
Beliau berkata, penahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek akan dipohon di Mahkamah Majistret Seri Manjung, dekat sini hari ini.-HMETRO
Loading...