loading...

8 kucing unik yang terkenal di internet selain "Maru the cat"

Sehingga ke hari ini telah banyak kucing yang popular dan menjadi tular di internet kerana gelagat lucu, aksi dan keletah yang menawan hati mahupun mempunyai bentuk fizikal yang unik.

Buat penggemar felin semua, kami kongsikan 8 ekor kucing paling istimewa yang pernah menjadi selebriti di internet:

1. Kucing dengan ekor terpanjang di dunia

kucing ekor panjang

Kucing baka Maine Coon dari Detroit ini hanya berusia satu tahun dan mempunyai berat hampir 7 kg. Ekor kucing bernama Cygnus yang memang semula jadi panjang itu berukuran 47 cm dan semakin berkembang serta kian gebu dari hari ke hari.

2. Kucing paling tinggi di dunia

kucing paling tinggi di dunia

Kucing berkaki jinjang bagaikan supermodel ini dinobatkan sebagai kucing domestik paling tinggi di dunia oleh Rekod Dunia Guinness. Kucing baka Savannah yang diberi nama Arcturus Aldebaran Powers itu berketinggian 48 cm dan masih lagi membesar kerana usia yang muda.

3. Kucing bersuara dalam

Kucing dengan bunyi ngiau yang deep seperti Morgan Freeman ini pernah menjadi hero di Internet tidak lama dulu.

Dalam satu video yang dimuat naik di Youtube, tuan Jack memintanya mengucapkan hai kepada para penonton sambil Jack berjalan dan berpusing-pusing dengan selamba di atas kaunter dapur. Video itu kemudian menjadi tular kerana bunyi ngiau Jack yang amat dalam itu adalah sangat jarang berlaku.

4. Kucing dua muka

kucing dua wajah

Banyak kucing yang popular di internet tapi tidak ada yang seunik Venus. Kucing unik ini bukan sahaja mempunyai dua wajah yang terbahagi sama rata, bahkan ia juga mempunyai dua warna mata yang berbeza.

Venus yang kini berusia tiga tahun dikenali sebagai kucing cimera kerana komposisi genetik dan heterochromia yang menyebabkan warna mata berlainan.

5. Kucing berbulu hijau

kucing warna hijau

Kucing alien dari Bulgaria ini telah menarik minat pelancong ke Varna sejak tahun 2014 lagi. Pada mulanya penduduk tempatan risau sekiranya kucing ini menjadi mangsa usikan kejam remaja yang sengaja mewarnakan badannya dengan warna hijau emerald itu. Rupa-rupanya mereka mendapati kucing ini secara tidak sengaja telah menyelaputi warna itu ke keseluruhan bulunya selepas bergolek-golek dan tidur di dalam tin cat yang sudah tidak digunakan.

Tidak lama selepas itu, pencinta haiwan di Varna telah berusaha memandikan kucing tersebut dan mencuci cat tersebut dari badannya sehingga bersih.

6. Kucing perengus

kucing marah perengus

Kucing dengan ekspresi muka yang pelik amat senang menjadi selebriti di internet. Harap anda masih ingat lagi dengan Grumpy Cat.

Namun, seekor lagi kucing berwajah perengus yang tinggal di pusat perlindungan haiwan ini menjadi terkenal selepas pusat itu mencari tuan baru yang ingin menjaga Shamo. Selepas dikenali ramai, pihak pengurusan Rencontrer Mignon terus mewujudkan akaun Twitter khas dan halaman khusus untuk Shamo di laman web pusat perlindungan berkenaan.

7. Kucing berhati besar

kucing berhati besar

Kucing baka British Shorthair yang diberi nama Zoë ini sering digelar Queen of Hearts oleh ramai orang kerana corak di badannya berbentuk hati yang besar. Zoë dan adiknya, Izzy mempunyai akaun Instagram mereka sendiri yang telah mempunyai hampir 75,000 followers.

8. Kucing gemuk

kucing gemuk

Kucing comel dan gemuk bernama Faye ini diletakkan di pusat perlindungan Jacksonville Humane Society selepas berjaya menyelamatkan diri daripada Taufan Irma yang melanda Amerika Syarikat. Selepas pusat perlindungan itu mengeluarkan iklan untuk mencari keluarga baru untuk Faye, deretan manusia beratur pada keesokan harinya untuk melihat sendiri kucing seberat 11 kg ini.

Berat biasa bagi seekor kucing domestik adalah sekitar 4.5 kg sahaja. Disebabkan itu, Faye yang berusia 12 tahun terpaksa mula berdiet dan pemakanannya dikawal rapi oleh doktor haiwan di situ.

Meow!

Previous
Next Post »
loading...