Kredit foto: Instagram Shahrol & Instagram Ajak
Keakraban dua anggota kumpulan lawak Shiro, Shahrol dan Ajak pasti sudah diketahui ramai.
Peminat sedia maklum yang mereka adalah sahabat baik sejak zaman remaja lagi.
Namun pasti ramai tak tahu isteri Ajak, Afifah Amin adalah ibu saudara kepada Shahrol.
Malah Shahrol sendiri pernah membantu Ajak untuk menggoda Afifah sehingga hubungan mereka berakhir di jinjang pelamin.
"Isteri Ajak, Afifah Amin merupakan saudara saya, berpangkat mak cik (ibu saudara) di sebelah ibu saya. Sewaktu kami bujang dahulu, Afifah pernah berkawan rapat dengan seorang kenalan sekampung.
"Ajak pernah datang kepada saya dan mengakui yang dia memang meminati mak cik saya. Kawan baik punya pasal, saya bersedia untuk membantu Ajak.
"Saya berpesan kepada Ajak, jika mahu saya menolong dirinya untuk berkenalan dengan Afifah, Ajak harus berjanji dengan saya yang dia akan menjaga Afifah dengan sebaiknya.
"Apa yang saya buat, saya berjumpa dengan kenalan sekampung yang sedang rapat dengan Afifah. Saya katakan kepada dia yang saya lihat Afifah tidak sesuai berkawan dengan dirinya.
"Selang satu minggu, Afifah tidak lagi berkawan rapat dengan kenalan sekampung itu dan Ajak pun masuk 'line'. Alhamdulillah, sehingga sekarang rumah tangga mereka bahagia. Itu kenangan yang saya tak akan lupa," dedah Shahrol dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada portal Astro Gempak.
Dalam pada itu, Shahrol memberitahu hubungannya dengan Ajak kini masih berada dalam keadaan baik meskipun jarang membuat persembahan bersama.
Dalam persahabatan yang terjalin, Shahrol tidak menafikan adakalanya hubungan itu dilanda pasang surut.
Justeru mereka sentiasa mengambil pendekatan untuk terus berkomunikasi dan berbincang untuk menyelesaikan masalah.
"Sebagai sahabat, pasti ada masanya kita tidak sependapat. Jika ada perselisihan faham, perkara tersebut harus diluahkan bersama-sama dan jalan penyelesaian harus dicari.
"Bagi saya, komunikasi sangat penting. Biarpun masing-masing ada kerja sendiri dan kini tidak berada di pentas yang sama, hubungan baik harus dijaga. Komunikasi menerusi Whatsapp dan saling berbalas komen di laman sosial masing-masing menguatkan hubungan persahabatan kami," ulas Shahrol lagi.
Mengenai perkembangan kerjaya seni, Shahrol kini masih bertahan dalam persaingan Super Spontan Superstar 2017 (SSS2017).
Dalam SSS2017, Shahrol merupakan ahli kumpulan Tenggiling Taiko yang turut dianggotai Rahim Sepahtu, Sharif Zero, Mamak Puteh, Danial Zaini, Sharifah Shahira dan Ozlynn, serta diketuai oleh Achey Bochey.
Super Spontan Superstar 2017 bersiaran setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna.