loading...

18 Tahun Berlalu, Gelaran Sarjan Misai Masih Melekat

KARAKTER misai terangkat miliknya bersama dengan kaca mata hitam membuatkan dirinya digeruni jika menjadi seorang anggota polis yang sebenar.

Zakaria Ahmad atau lebih dikenali sebagai A. Galak, sering menjadi penghibur bagi anggota polis di dalam drama bersiri popular Gerak Khas sejak tahun 1999 lagi.

Ibunya merupakan seorang bintang filem terkenal semasa era 1950-an, iaitu Rokiah Jaafar. Tetapi, itu tidak membuatkan dia merancang untuk menjadi anak seni seperti ibunya.

“Saya bekerja di Studio Jalan Ampas secara tak sengaja apabila sahabat saya, Mat Zain (Labu Labi) yang ketika itu bekerja di bahagian penyediaan mekap dan pakaian, minta saya menggantikan jawatannya di situ kerana mahu jadi pelakon.

“Bila dah kerja di situ, saya sering ditawarkan jadi pelakon tambahan bila produksi tak cukup orang atau menggantikan pelakon yang tak datang dengan bayaran S$4.50,” katanya.

Katanya lagi, pada waktu itu dia langsung tidak mempunyai minat untuk menjadi anak seni. Dia hanya mahu menambah duit poket untuk membeli pakaian dan bergaya seperti anak muda yang lain.

Namun, A. Galak mula serius pada tahun 1960-an apabila dia diberi tawaran oleh Saadiah untuk mengisi salah satu watak dalam sebuah persembahan drama pentas di Mersing, Johor.

“Saya kenal ramai pelakon lama di Studio Jalan Ampas kerana mereka seangkatan dengan ibu saya seperti Saadiah, Kasma Booty dan yang lain.

“Saadiah lah yang banyak cadangkan saya guna nama gelaran saya sejak kecil, Galak sebagai nama pentas namun ditambah huruf ‘A’ pada pangkal sebagai tanda nama bapa saya, Ahmad,” jelasnya.

A.Galak mula belajar berlakon, menari dan menyanyi hingga minat dalam bidang seni itu timbul dengan sendirinya dan dia juga sering mendapat tawaran berlakon drama TV Singapura yang memegang sebagai watak utama.

Itulah orang kata, kalau dah ada darah seni, mesti lama-kelamaan minat itu pasti akan timbul.

1967 merupakan tahun penutupan Studio Jalan Ampas dan ia membuatkan A.Galak terpaksa pulang ke kampung halamannya di Gemas, Negeri Sembilan untuk beberapa tahun sebelum dia berhijrah semula ke Kuala Lumpur dan kembali bergelar pelakon pada tahun 1980-an.

“Arwah Datuk Aziz ajak saya bekerja jaga konti di syarikat produksinya dan dalam masa yang sama memberikan galakan kepada saya untuk sambung berlakon.

“Alhamdulillah rezeki bertambah bila penerbit Sabah Film, Deddy M. Borhan menawarkan saya watak pembantu sebagai bapa kepada Jamal Abdillah dalam filem Azura (1984) dan sejak itu saya mula dikenali orang orang ramai,” kata memegang watak sebagai Taji Samprit dalam filem Abang Long Fadil 2.

Salah seorang pengarah tersohor yang menjadi rakan baik A. Galak ketika itu ialah Datuk Yusof Haslam. Ketika itu dia mencadangkan nama Yusof sebagai watak utama dalam sebuah drama swasta yang baru bermula ketika itu.

Semua tahu bahawa pada ketika itu, menjadi anak seni bukanlah mudah seperti sekarang. Kalau dulu, pengarah tengok pada kualiti seorang pelakon dan bukan hanya pada populariti sahaja.

Persahabatan yang sudah terjalin hampir 35 tahun itu telah menyimpan banyak cerita antara mereka termasuk bagaimana kesinambungan kerjaya seni seorang A. Galak.

A. Galak atau Sarjan Misai bagaikan satu nama tetap pada dirinya apabila mula menggunakan nama watak itu di ketika berlakon Remang Remang Kota Raya yang mana Yusof Haslam merupakan pengarahnya.

Pasti jika di luar, peminat yang berjumpa dengannya akan memanggil dengan nama ‘Sarjan Misai’ kerana lakonannya sebagai seorang Sarjan di dalam drama bersiri Gerak Khas dulu.

Kemunculan semulanya dalam filem Abang Long Fadil 2 benar-benar mengurangkan rindu kepada para peminatnya yang dah lama menunggu A. Galak berlakon semula.

“Semenjak itu imej misai melentik itu kekal sampai sekarang malah tanpa saya sedar, ia menjadi trademark sehingga ke hari ini, sampai budak-budak kecil panggil saya Sarjan Misai juga.”

“Kalau saya ke mana-mana, ramai menyangka saya anggota polis sebenar dan mereka begitu hormati saya hingga saya banyak dapat kelebihan dari imej ini,” katanya dipetik daripada Media Hiburan.

Walaupun sudah berusia 76 tahun, namun A. Galak tidak pernah berhasrat untuk mengundurkan diri dalam bidang seni. Dia kini mempunyai lima orang anak, 14 cucu dan dua cicit.

Semoga A. Galak akan sentiasa bersemangat dalam lakonan selagi masih berdaya. –MYNEWSHUB.CC / Ainaa Hafizah

Loading...

Previous
Next Post »
loading...