Ramai yang mengeluh dan bersedih dengan berita syarikat pengeluar permainan kanak-kanak terbesar di dunia, Toys R Us memfailkan perlindungan muflis minggu lalu. Ia merupakan satu lagi bukti perniagaan runcit ditewaskan oleh perniagaan online. Kisah ini seakan-akan cerita mengenai Kodak yang mencipta kamera digital, namun tidak melakukan apa-apa dengan ciptaan tersebut.
Lebih buruk, kisah Toys R Us boleh dikatakan 10 kali ganda lebih buruk. Bagaimana sebuah syarikat rangkaian kedai mainan yang terbesar di dunia boleh jatuh bankrap?
Jika Toys R Us menggunakan peluang yang ada untuk menerajui penjualan mainan secara atas talian sebaik-baiknya, mereka pasti tidak akan dapat dikalahkan. Namun, mereka mensia-siakan peluang yang ada.
Permulaan jualan online yang memberangsangkan
Pada tahun 1999 ketika laman sesawang baru mula berkembang, laman sesawang Toys R Us dikatakan sangat berjaya sehinggakan mendapat permintaan dan pesanan barangan mainan yang terlalu banyak, sehinggakan mereka tak menang tangan untuk menghantar kesemua pesanan. Hal itu menyebabkan syarikat tersebut disaman sebanyak USD350,000.
Melihatkan potensi yang ada, Toys R Us mengambil keputusan untuk lebih fokus dan serius dalam penjualan mainan secara atas talian. Selepas dua bulan beroperasi secara atas talian, SoftBank telah melabur sebanyak USD60 juta kepada Toys R Us bagi mengembangkan lagi penjualan online.
Kerjasama dan konflik dengan Amazon.com
Mereka kemudiannya telah membuat pengumuman bahawa Toys R Us akan menjadi pembekal eksklusif mainan bagi Amazon.com. Dan dengan kerjasama ini, ia telah menjadikan Toys R Us sebagai pembekal mainan terbesar di dunia dalam masa setahun sahaja.
Selepas pelancaran kerjasama antara kedua-dua syarikat ini, Jeff Bezos, pengasas Amazon telah melancarkan Amazon Marketplace yang membolehkan sesiapa sahaja untuk menjual apa-apa produk di laman sesawang Amazon. Ia merupakan strategi bijak yang menguntungkan Amazon, namun bagi Toys R Us, keputusan itu sangat mengejutkan mereka.
Bermula daripada itu, ramai mengambil kesempatan menjual mainan yang tidak dihasilkan oleh Toys R Us. Ini memberikan pengguna lebih banyak pilihan mainan. Berang dengan situasi ini, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, John Eyler bergegas untuk bertemu dengan Jeff Bezos untuk memaksa beliau menghentikan apa yang sedang berlaku.
Namun, jawapan daripada Jeff Bezos memburukkan lagi keadaan. Beliau berkata, "Pengguna seharusnya boleh mencari dan mendapatkan apa yang mereka mahu melalui Amazon,". Jeff juga memberitahu bahawa peningkatan terhadap jualan oleh Toys R Us adalah bukti strategi tersebut berkesan.
Malahan, Amazon tidak melanggar perjanjian di antara mereka, kerana penjual-penjual lain menjual mainan yang tidak dihasilkan oleh Toys R Us. Jeff juga berkata Toys R Us sepatutnya mempelbagaikan pilihan produk untuk mengawal pasaran dan Amazon bersedia menjadikan Toys R Us sebagai penjual eksklusif bagi produk-produk baru mereka.
Toys R Us saman Amazon
Tindakan yang tidak bijak kemudiannya telah dilakukan oleh Toys R Us apabila mereka menyaman Amazon atas alasan melanggar kontrak. John Eyler memberikan keterangan dengan berkata "Kami sampai ke satu tahap sehingga langsung tak percayakan Amazon untuk berurusan dengan organisasi ini,".
John Eyler kemudiannya mendapat perintah larangan untuk mencuba dan mencegah Amazon daripada menjual mainan lain di laman sesawang mereka. Dan Amazon pula menyaman Toys R Us untuk "kegagalan kronik" oleh syarikat itu dalam menyediakan bekalan yang dipesan pembeli.
Kes tersebut berlarutan selama 5 tahun. Dan kerana tidak mahu lagi memanjangkan kes tersebut, Amazon telah bersetuju membayar wang pampasan sebanyak USD51 juta kepada Toys R Us.
Setelah semuanya selesai, Toys R Us mula untuk bersaing dengan Amazon dan laman sesawang lain yang menawarkan jualan atas talian. Dan apa yang berlaku kepada Amazon?
Kesan daripada konflik
Ketika Amazon menandatangani kontrak dengan Toys R Us, jualan mereka meningkat dari USD2.78 billion, kepada USD8.49 billion (ketika Toys R Us mengambil tindakan saman). Dan sehingga tahun lepas, jualan Amazon telah meningkat kepada USD136 billion dan menjadikan syarikat ini sebagai syarikat paling pantas mencecah jualan USD100 billion.
Manakala jualan Toys R Us pula tidak bayak berubah sepertimana 10 tahun lalu, iaitu sebanyak USD11 billion jualan pada tahun 2016. Dan pada minggu lepas, dengan hutang sebanyak USD5 billion, Toys R Us terpaksa diisytiharkan bankrap.
Apa yang membezakan kedua-kedua syarikat ini bukanlah kerana satu daripada mereka menjual atas talian dan tidak, tetapi Amazon bersedia untuk berubah, manakala Toys R Us tidak.
Bayangkan apa yang berlaku jika CEO Toys R Us mendengar nasihat Jeff Bezos dan berubah? Daripada menyaman, Toys R Us sepatutnya mendengar, mencuba dan bekerjasama dengan Amazon. Kita hidup di dunia di mana peraturannya sudah berubah, bukannya Amazon atau Toys R Us yang menang, tetapi pengguna yang menang.
Nasihat daripada Jeff Bezos
Jeff Bezos berkata, "Kami mempunyai 3 idea utama di Amazon yang kami gunakan selama 18 tahun yang menjadi penyebab kami berjaya. Ia adalah utamakan pelanggan, mencipta dan sabar,".
Nasihat daripada Jeff lagi:
"Apa yang harus kita lakukan adalah sentiasa lihat ke hadapan, dan apabila dunia di sekeliling berubah dan mengubah anda, apa yang selama ini adalah ekor, sekarang menjadi kepala. Dan anda harus menggunakan situasi tersebut serta fikir apa yang harus dilakukan, kerana dengan merungut bukanlah satu strategi,".
Rujukan :
1. CNBC
2. Business Insider
3. Roger Hamilton
4. ABC News
5. Globe and Mail