loading...

Lebih 5 Juta Akan Terima Bayaran Bantuan BR1M Mulai Sabtu – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan 5,153,238 permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan menerima bayaran mulai Sabtu ini secara berperingkat, kata Datuk Seri Najib Razak.

 

Perdana Menteri berkata baki permohonan yang belum lulus iaitu 3,123,950 pula berada dalam fasa pemprosesan dan keputusannya dijangka diumumkan pada Mac nanti.

 

“Mengikut peringkat umur, kumpulan tertinggi diluluskan adalah golongan 21 hingga 30 tahun dan yang berumur 61 tahun ke atas.

 

“Sebanyak 2,782,799 pemohon akan menerima bantuan RM1200, manakala 243,434 bagi bantuan RM900 dan selebihnya 2,127,005 layak untuk bantuan RM450.

 

“Mengikut pecahan negeri, Selangor mencatatkan kelulusan tertinggi dengan 666,316 pemohon, disusuli Sabah dan Sarawak, masing-masing 477,482 dan 537,588 pemohon,” katanya menerusi entri di blog rasminya, NajibRazak.com, hari ini.

 

Najib yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun meluahkan kekesalan apabila pembangkang memperlekehkan BR1M dengan menyifatkan bantuan itu sebagai dedak, selain gerakan memancing undi dan rasuah.

 

Beliau berkata pembangkang sewajarnya lebih sensitif kerana penerima BR1M menggunakan bantuan berkenaan untuk membeli keperluan harian dan seisi keluarga.

 

“Janganlah menggunakan bahasa kesat, mengelirukan dan merendahkan martabat mereka hanya untuk kepentingan politik. BR1M tidak seharusnya dipolitikkan.

 

“Berhentilah juga mengatakan saban tahun negara akan muflis, walhal setiap tahun jumlah BR1M dinaikkan untuk lebih membantu mereka yang memerlukan.

 

“BR1M adalah bantuan ikhlas kerajaan kepada mereka yang memerlukan dan diagihkan mengikut kelayakan serta kriteria ditetapkan berdasarkan pendapatan perseorangan atau seisi rumah. BR1M tidak mengira kaum, agama, mahupun pegangan parti politik,” katanya.

 

#INFO * 8,277,391 – permohonan BR1M diterima kerajaan pada 2017 – BH



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...