loading...

Dakwaan Wakil Rakyat BN Terengganu Sertai PPBM Hanya Provokasi – MB

KUALA NERUS – Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menafikan dakwaan pembangkang kononnya beberapa anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen Barisan Nasional (BN) akan berpaling tadah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri itu, berkata dakwaan tersebut hanya satu provokasi yang cuba dilemparkan kepada BN bagi menutup kepincangan yang berlaku dalam kalangan pihak pembangkang, petik Bernama.

 

“Ini seumpama kes Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) yang mendakwa kononnya ada menteri kanan yang akan letak jawatan. Tapi kemudian kita dapat tahu, empat wakil rakyat DAP Melaka yang keluar parti.

 

“Sebenarnya mereka berbuat demikian untuk tutup isu dalaman pembangkang dengan menuding jari kepada pihak lain. Saya nasihatkan pembangkang cukup-cukuplah dan jangan cetuskan provokasi sebab BN Terengganu tidak ambil peduli hal ini…apa yang penting sekarang kita akan terus berkhidmat untuk kepentingan rakyat,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi DUN Seberang Takir, dan menyampaikan bantuan kepada penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini hari ini.

 

Ahmad Razif mengulas dakwaan di media sosial yang tular berhubung empat ADUN dan seorang Anggota Parlimen BN di negeri ini, yang dikatakan akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

 

Dalam pada itu, mengenai projek mega pembinaan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Ahmad Razif berkata terdapat beberapa pindaan dilakukan terhadap stesen-stesen terlibat dengan mengambil kira kawasan tarikan pelancong dan kawasan perindustrian di negeri ini.

 

Perubahan tersebut, beliau berkata tidak mengganggu laluan asal serta tidak melibatkan kos tambahan terhadap projek bernilai RM55 bilion itu yang dijangka dimulakan Julai depan.

 

Katanya pindaan itu melibatkan lima stesen, dari Kampung Raja, Besut ke Chukai, Kemaman dengan membabitkan destinasi baharu Kuala Nerus, Kuala Telemong, Pengkalan Berangan dan Kemasik.

 

Perubahan itu juga termasuk pembatalan stesen Bukit Besar berikutan faktor pembangunan dan sudut jajaran tidak sesuai dengan kelajuan kereta api di samping pertambahan empat ‘spur line’ sejauh 71 kilometer, sekali gus menjadikan jarak keseluruhan jajaran 298 kilometer berbanding jarak asal 234 kilometer.

“Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat exco mingguan semalam, yang menetapkan stesen Ajil akan digantikan dengan stesen Pengkalan Berangan (daerah Marang) bersambung ke Telemong dan terus ke Tasik Kenyir.

“Laluan ECRL tersebut juga akan melalui stesen Bukit Besi yang mempunyai pelancongan warisan,” katanya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...