loading...

KLATCC Bakal Jadi Mercu Tanda Baharu Industri Penerbangan – PM

SEPANG  – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kompleks Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) yang akan beroperasi dalam tempoh dua tahun lagi, bakal menjadi satu daripada mercu tanda penting dalam industri penerbangan awam negara.

 

Perdana Menteri menjelaskan, projek itu sekali gus merupakan satu lagi pencapaian dalam transformasi negara yang giat diperjuangkan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi meningkatkan mutu penyampai­an perkhidmatan awam.

 

Menurutnya, projek KLATCC tersebut apabila siap kelak juga akan menjadi titik permulaan pelaksa­naan penstrukturan semula Ruang Udara Kuala Lumpur (KLFIR).

 

“Penstrukturan semula ruang udara KLFIR akan membolehkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beroperasi pada tahap maksimum melalui operasi tiga landasan secara se­rentak.

 

“Operasi secara serentak ini disasar dapat mempertingkatkan kapasiti landasan di KLIA secara keseluruhannya daripada 78 kepada 108 pergerakan pesawat sejam, yang merupakan antara tertinggi di dunia,” kata Perdana Menteri ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah KLATCC baharu, di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Menteri Pe­­­­­ng­ang­kutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Timbalannya, Datuk Ab. Aziz Kaprawi dan Ketua Pe­ngarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.

 

Projek yang menelan belanja lebih RM650 juta itu dijadualkan beroperasi sepenuhnya pada peng­hujung 2019.

 

Pada perkembangan sama, Perdana Menteri berkata, peningkatan pergerakan pesawat di negara ini menunjukkan Malaysia kini muncul sebagai antara hab penerbangan terpenting di rantau Asia Pasifik.

 

Berdasarkan kepada statistik yang direkodkan, kata Najib, pertambahan pergerakan pesawat dapat dilihat dengan jelas dan salah satu kesan yang amat ketara ialah peningkatan kadar trafik udara di KLIA.

 

Beliau berkata, sebelum era Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) pada Mac 2006, pergerakan pesawat di KLIA ha­nya sekitar 600 pesawat sehari.

 

Namun ketika ini, pergerakan pesawat telah mencecah 1,200 sehari iaitu satu lonjakan tinggi dalam tempoh hanya 10 tahun.

 

Selain itu, Najib berkata, kadar pengendalian pesawat oleh Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur di Subang juga telah mencapai tahap maksimum dengan secara puratanya lebih daripada 900,000 kendalian setahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – UTUSAN



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...