KUALA LUMPUR – Belum pun reda isu belajar menggaji Al-Quran dengan kadar sehingga RM33,000 sejam di atas jet mewah, kini timbul pula isu Valet Doa – perkhidmatan berbayar mengirim dan membaca doa di Tanah Suci Mekah.
“Dah bertahun berdoa tapi hajat belum makbul juga? Valet Doa bantu anda berdoa depan Kaabah – Confirm makbul cepat. Bermula Mac 2017,” tertera iklan pengenalan perkhidmatan tersebut di laman Facebook Valet Doa.
Perkhidmatan itu menyediakan harga antara RM250 hingga RM5,000 menerusi dua pakej yang boleh dipilih seperti Pakej VIP dan Pakej King Salman.
Pemilik laman Facebook Valet Doa, Nasrin Harin atau mahu dikenali sebagai Haji Arin menerusi status di laman sosial mendakwa perkhidmatan berbayar itu untuk kemudahan orang ramai yang tidak berkemampuan untuk ke Mekah.
Tinjauan lanjut di laman Facebook berkenaan menyaksikan ratusan komen dari pengguna media sosial (netizen) mengecam pemiliknya yang disifatkan sebagai ‘penunggang agama’.
“Inilah penunggang agama yang sanggup menjual agamanya sendiri sehingga orang bukan Islam memandang kita hina dan bodoh,” komen Syed Mohammad Syed Abdullah dengan nada kesal.
“RM5000 baik kumpul lagi sikit boleh pergi sendiri umrah,” ujar Mohd Fetri pula.
Seorang netizen lain, Mohammad Gaddafi Hamzah menyelar perkhidmatan tersebut yang dianggap sudah melampau.
“Astagfirullah. Melampau-lampau dah ni. Doa ni ikhlas, macam ni punya perkhidmatan pun ada. Songsang ke apa dia ni,” katanya. – SuaraTV
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW