NEW YORK — Donald Trump terus menjadi sasaran pertikaian apabila sekumpulan pakar psikologi secara terbuka menyifatkan presiden Amerika Syarikat tidak layak memimpin.
Menulis surat kepada New York Times kelmarin, 33 pakar kesihatan mental menyatakan ucapan dan tindakan presiden itu “tidak stabil” kerana sangat tidak berupaya untuk berempati.
Hartawan itu juga dianggap “sangat tidak boleh bertolak ansur terhadap pandangan berbeza” yang menyebabkannya mudah berang.
“Individu dengan sifat [psikologi] seperti ini mengherotkan realiti untuk menyesuaikannya dengan keadaan psikologinya, menyerang fakta dan mereka yang menyebarkan fakta (wartawan, ahli sains),” kata mereka dalam surat itu.
Kumpulan penulis surat pendek itu diketuai Dr Lance Dodes, bekas profesor madya di Kajian Perubatan Universiti Harvard, dan Dr Joseph Schachter, ketua jawatankuasa cadangan penyelidikan Persatuan Psikoanalisa Antarabangsa.
“Pada seorang pemimpin berkuasa, serangan seperti ini kemungkinan besar akan berterusan kerana mitos kehebatan dirinya nampak macam disahkan,” kata mereka.
“Kami percaya ketidakstablan emosi teruk yang ditunjukkan melalui ucapan dan tindakan Trump tidak melayakkan beliau menjalankan tugas presiden.”
Mereka juga menjelaskan sudah tiba masanya pakar-pakar dalam bidang itu bersuara walaupun etika ahli-ahli psikiatri tidak mengizinkan mereka mengulas tokoh-tokoh awam.
“Namun sikap berdiam diri [pakar] menyebabkan kami gagal memberi pandangan [profesional] kami kepada wartawan dan anggota Kongres di saat-saat yang genting ini,” surat itu dipetik.
“Kami takut terlalu banyak hal terpaksa diperjudikan jika kami terus berdiam diri.”
Kumpulan pakar ini antara mereka yang mengkritik Trump sejak beliau dengan rasmi menjadi presiden ke-45 pada 20 Januari lalu.
Kumpulan-kumpulan lain yang turut mengecam ucapan dan dasar pemimpin Republikan itu termasuklah selebriti Hollywood dan gergasi internet di Silicon Valley.
Minggu lalu, lebih 100 syarikat termasuk Uber, Twitter, Google, Facebook, Apple and Microsoft mencabar arahan antipendatang presiden itu di mahkamah, lapor Financial Times.
Selain dianggap tidak adil, dasar menyekat warga asing itu menyulitkan lagi syarikat-syarikat tersebut, kata mereka dalam permohonan menilai semula arahan tersebut.
Manakala penganjur anugerah Oscar tanpa berselindung menyatakan kekesalan dengan dasar itu yang menyebabkan beberapan tokoh filem dunia tidak dapat menghadirinya.
Cheryl Boone Isaacs mengulas tindakan beberapa artis dari tujuh negara yang dilarang masuk Amerika Syarikat yang enggan menghadiri anugerah filem berprestij itu pada 26 Februari ini.
Pada 27 Januari lalu, arahan Trump menghalang selama 120 hari semua pelarian dan menghalang visa warga Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.
Pelakon-pelakon yang menang anugerah Screen Actors Guild (SAG) baru-baru ini juga mengkritik dasar Trump ketika menerima trofi mereka.
Pelakon terkenal Arnold Schwarzenegger, yang juga bekas gabenor California, pernah menyifatkan larangan itu “menampakkan kita ini bodoh.”
Sebuah muzium tersohor bertaraf dunia di sini membantah dasar antipendatang dengan menaikkan karya-karya warga negara yang dilarang.
Muzium Seni Moden pada masa yang sama menurunkan karya tokoh-tokoh hebat Barat seperti Picasso dan Matisse untuk digantikan dengan hasil seni karyawan Iran, Iraq dan Sudan.
Sikap seniman Hollywood bagaimanapun tidaklah ganjil. Sehari selepas Trump menang pilihan raya 8 November lalu, selebriti besar rata-rata melahirkan rasa sedih dan kecewa.
Penyanyi-penyanyi tersohor Lady Gaga menyatakan bantahannya di bangunan Trump Tower dan Madonna menggesa agar gerakan menentang calon Republikan itu tidak berputus asa.
Katy Perry menggesa penyokong Hillary Clinton agar tidak menangisi ketewasan itu. Miley Cyrus yang menangis melalui rakaman video di media sosialnya menyatakan beliau tidak dapat tidur.
Penggerak industri hiburan menyumbang US$22 juta (RM93.59 juta) untuk kempen tokoh wanita itu tetapi hanya US$290,000 (RM1.2 juta) untuk Trump, lapor akhbar industri Variety. – MalayMail
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW