LUNDU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu diketahui seawal jam 8 malam esok.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan hanya tiga pusat mengundi ditutup pada jam 5 petang.
Beliau berkata, pusat pengundian terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Stunggang Melayu, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua, Lundu dan SK Bumiputera, Lundu.
“Lokasi ketiga-tiga pusat pengundian itu pula berada dalam kawasan pekan Lundu yang kita percaya tidak akan menghadapi masalah untuk membawa peti undi ke pusat penjumlahan.
“Pusat pengundian lain akan ditutup secara berperingkat mulai jam 12 tengah hari hingga jam 4 petang,” katanya pada sidang media selepas menyemak peti undi di Dewan Masyarakat Lundu di sini hari ini.
Mohd Hashim berkata, SK Telok Melano, SK Stoh, Balai Raya Rambongan dan SJK Chung Hua Sarayan adalah pusat pengundian yang akan ditutup awal pada jam 12 tengah hari.
Katanya, semua pusat pengundian itu akan dibuka pada jam 8 pagi dan meminta orang ramai supaya turun awal untuk mengelak cuaca buruk.
“Berdasarkan ramalan Jabatan Meterologi Malaysia, cuaca di kawasan ini diramal mendung pada pagi esok.
“Sebab itu kita merayu pengundi supaya keluar awal kerana hujan akan berlaku pada sebelah petang,” katanya.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu mempunyai seramai 9,959 pengundi berdaftar dengan 188 daripadanya sudah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal, 12 Februari lalu.
Pada hari pengundian esok, 9,771 pengundi akan mengundi di 16 pusat pengundian serta 25 saluran mengundi. Katanya, SPR menyasarkan 75 peratus pengundi akan keluar esok namun pada yang sama beliau mengharapkan jumlah yang keluar mengundi melebihi sasaran itu. – BH
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW