KUALA LUMPUR — Menyediakan khidmat doa di Mekah, bayaran serendah RM500 sama seperti menunaikan hajat di kota suci itu, kata pengusaha Valet Doa.
Nasrin Harin berkata khidmatnya itu tidak menyalahi hukum Islam dan sama seperti mengambil upah mengerjakan haji.
“Usaha kami. Kami bukan doa untuk kami tetapi pemohon yang membayar. Kami selesaikan amanah mereka. Jadi ada hargalah di situ atas usaha kami.
“Dalam Islam tidak salah. Kami bekerja. Sama macam upah haji. Tetapi orang tidak nampak,” katanya yang bekerja sebagai kontraktor binaan itu.
“Kita upah orang. Cuma upah haji sudah disentuh dalam agama, fekah dan benda yang biasa. Jadi, upah doa ini masih baharu.
“Saya sebenarnya bukanlah kenakan bayaran untuk berdoa. Saya caj berurusan dan kos saya ke sana. Ini bukan Shah Alam ke masjid, ini ke Masjidil haram tanah suci,” katanya ketika dihubungi ProjekMMO.
Mengakui mendapat kecaman di Facebook, Nasrin berkata ia disebabkan masyarakat kurang pengetahuan mengenainya.
“Orang belum faham. Jadi bila sudah faham, sudah biasa, insya Allah mereka boleh terimalah.
“Dari orang beragama, mereka tidak ada masalah. Yang ada masalah ini yang cetek ilmu agama, macam tahu semuanya,” katanya yang bakal mengerjakan umrah pertengahan Mac ini.
Valet doa di Facebook memaparkan kadar upah berbeza mengikut lokasi doa, termasuk berdoa di Multazam (pintu kaabah) dengan bayaran RM2,500.
Laman Facebook yang mempunyai lebih 3,000 pengikut itu mendapat perhatian media sosial selepas diwujudkan 13 Februari lalu.
Nasrin, 40, berkata selepas perkhidmatan itu menjadi tular di media sosial, lebih 300 pertanyaan diterima dan 10 pelanggan berpotensi sejak semalam.
“300 yang berminat dan 10 orang sudah tanya maklumat terperinci. Saya pun terkejut kerana banyak sangat.
“Saya terangkan pakej paling murah lokasi dalam masjid membawa ke arah Kaabah. Lagi tinggi bayaran, lagi banyak jumlah yang boleh diminta.
“Tetapi hanya minta satu. Kalau hendak jadi kaya minta kaya sahaja. Tidak boleh minta untuk jodoh. Kalau hendak, kena ambil pakej tambahan,” katanya.
Ditanya bagaimana khidmat doanya dijalankan, Nasrin berkata pelanggan akan diberikan gambar ‘selfie’ atau video bersama sehelai kertas senarai doa.
“Saya mungkin buat dua. Satu selfie bersama senarai hajat. Mana tempat yang boleh ambil video [doa], saya buat.
“Macam Hijr Ismail, kalau kurang orang, saya ambil video, kalau tidak, saya selfie. Saya tunjukkan sekali senarai hajat dilengkapi gambar pemohon, cetak atas kertas,” katanya lagi. – MalayMail
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW