loading...

Eizlan Sunyi Selepas Bercerai

KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Eizlan Yusof, 46, mengaku beliau kesunyian selepas berpisah dengan bekas isteri, Vie Santie Harun, lebih dua tahun lalu.

 

Bagi menghilangkan kesepian, bintang drama Lara Aishah itu memastikan beliau sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti seperti lakonan, pengajian dan menguruskan perniagaan.

 

Eizlan, yang kini menyambung pengajian pada peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Utara Malaysia, ketika ditemui baru-baru ini bagaimanapun berkata, walau sesibuk mana sekalipun, beliau akan tetap meluangkan masa berharga bersama tiga anaknya.

 

“Jika ada kelapangan, saya akan mengambil anak-anak untuk dibawa keluar bagi menghabiskan masa melakukan bermacam-macam aktiviti bersama-sama.

 

Jadi, ketiadaan saya tidaklah terlalu dirasai mereka. “Malah, tiada halangan untuk saya mengambil anak-anak pada bila-bila masa saja daripada jagaan bekas isteri.

 

Cuma, kesibukan menyebabkan masa saya agak terbatas. “Anak-anak pula seakan sudah faham mengenai status saya dengan ibunya. Begitupun apabila mereka bertanya, saya katakan saya sibuk bekerja di luar Kuala Lumpur,” katanya.

 

Eizlan berkahwin dengan Vie Santie, 31, pada Julai 2007 dan mereka dikurniakan tiga anak, Vie Zaara, 9, Zareef Yusof, 7, dan Vie Zaalia, 4.

 

Sementara itu, pelakon yang bakal muncul dengan filem Pak Pong dan Balun ini berkata, beliau ada berkawan dengan ramai wanita, namun belum berjumpa seseorang yang boleh dianggapnya istimewa.

 

“Buat masa sekarang, saya tidak terfikir untuk memberikan ruang dalam hati kepada mana-mana wanita. Begitupun, saya juga tidak pernah menutup terus pintu hati ini untuk menerima kehadiran orang baharu dalam hidup,” katanya.

 

Pelakon yang sudah lebih dekad berada dalam industri seni ini juga berjanji akan memaklumkan kepada media andainya beliau ditemukan dengan jodoh baharu.-Bharian



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...