PETALING JAYA – Ejen perisik Korea Utara telah beroperasi di Malaysia, Singapura dan Indonesia sejak dua dekad lalu.
Menurut sumber perisikan, operasi mereka di tiga negara itu dipercayai jaringan terbesar di luar Korea Utara dengan Malaysia dan Singapura menjadi pilihan utama Reconnaissance General Bureau (RGB).
RGB adalah agensi perisikan Korea Utara yang beroperasi secara rahsia di negara ini.
Untuk mengelak operasi mereka di Malaysia dan Singapura diketahui, ada dikalangan ejen akan menyamar sebagai jurutera dan perunding teknikal dalam industri pembinaan dan juga mengendalikan restoran Korea.
“Mereka menggunakan restoran sebagai platform untuk menjalankan pengumpulan maklumat risikan dan pemantauan dengan mensasarkan ahli politik, diplomat, tokoh korporat dan ahli perniagaan dari Korea Selatan dan Jepun yang berkunjung atau menetap di negara ini,” kata sumber itu.
RGB adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Keselamatan Negeri Korea Utara atau Kementerian Keselamatan Negeri dan melapor terus kepada pemimpin tertingginya, Kim Jong-un.
Di Indonesia, sumber berkata, RGB juga diketahui beroperasi di kilang tekstil di beberapa bandar besar di Indonesia termasuk Jakarta.
“Salah satu daripadanya yang terletak di atas sebuah restoran Korea Utara di tengah Jakarta merupakan sebahagian daripada pejabat RGB di Indonesia,” kata sumber itu.
Untuk membiayai rangkaiannya, sumber berkata RGB turut terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah.
Ianya terbongkar selepas kegiatan kumpulan itu untuk menyeludup kira-kira 125 gram heroin ke Australia melalui Pong Su, kapal komersial berjaya ditumpaskan pada 2003.
Sumber itu berkata siasatan polis Australia mendedahkan RGB menggunakan Pelabuhan Klang sebagai kawasan transit dan memasang semula konsainan penyejuk beku dengan mengeluarkan penebat untuk menyembunyikan dadah.
Dadah itu dikaitkan dengan operasi RGB.
Sumber berkata, RGB juga menggunakan Malaysia pada awal tahun 2000 sebagai salah satu destinasi untuk mengubah laluan bahan kimia terlarang yang boleh digunakan untuk menghasilkan gas saraf ke Pyongyang melalui China. – mstar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW