Tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang bersemuka dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai agenda tersembunyi kata Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, C Sivarraajh.
Beliau berkata, dimana hilangnya prinsip Tun Mahathir selama ini apabila sanggup bersemuka dengan musuh politiknya selepas insiden 18 tahun lalu.
“Apakah Tun M hilang prinsip, ideologi dan maruah diri kerana dialah semasa dibawah pemerintahannya, beliau menuduh Anwar yang ketika itu timbalan perdana menteri tidak layak menjadi penggantinya tetapi selepas 18 tahun insiden itu berlaku, Tun M dengan rendah diri di hadapan Anwar seolah berdamai dan lupakan kisah lampau,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Tambahnya lagi, Tun M dilihat terdesak untuk terus mendekatkan diri dengan Pakatan Harapan demi survival politik dan itu merupakan sebab utama bekas pemimpin itu sanggup ke mahkamah untuk menyokong Anwar.
Mahathir hadir ke mahkamah tinggi bersama Timbalan Presiden PKR merangkap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyokong Anwar yang telah memfailkan injunksi interim untuk menghentikan pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara.
Katanya, Tun M begitu terdesak sehingga memerlukan sokongan Anwar.
“Terdapat agenda politik berperanan di sini. Anwar juga menyambut Tun M dan berjabat tangan dengannya dengan difahamkan Tun M juga sokong agenda reformasinya.
“Tetapi apa yang dapat dilihat ialah, Tun M tidak menyokong Reformasi Anwar sebaliknya hanya memerlukan Pakatan Harapan dan penyokongnya sebagai rangkaian untuk mendukung parti yang baru didaftarkan kerana risau usaha beliau yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan gagal,” ujarnya lagi.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW