Pembedahan otak yang dilakukan bulan Mac tahun lalu masih berbekas dalam hati pelakon Nazim Othman yang baharu sahaja menamatkan zaman bujangnya bersama kekasih hatinya, Bella Daly.
Meskipun peristiwa tersebut sudah setahun lebih berlalu, namun ia masih lagi terpahat dalam ingatan pelakon itu.
Mengakui walaupun hubungan antara mereka sudah terputus ketika pembedahan tersebut, namun kesetiaan Bella Daly menjaganya berminggu-minggu lamanya di hospital tidak terbalas dengan kata-kata.
“Memang benar hubungan kami sudah terputus ketika itu. Bila saya berhadapan dengan kesakitan yang memerlukan pembedahan, dia pula tetap setia berada di sisi walaupun hubungan antara kami sudah berakhir.
“Saya yakin keikhlasan yang ada dalam diri Bella membuatkan hubungan kami sampai ke jenjang pelamin. Kesungguhan ini jugalah yang akhirnya menyatukan kami sebagai suami dan isteri,” kata Nazim, memetik Utusan.
Terdahulu, pasangan ini bernikah pada 10 September lalu di Kota Kinabalu, Sabah yang juga merupakan tempat asal Bella.
Mereka turut melakukan majlis resepsi di Johor Bahru minggu lalu yang turut dihadiri oleh saudara-mara dan rakan-rakan terdekat pelakon yang popular dengan drama Lara Aishah itu.
Gembira dapat mengumpulkan lebih 500 tetamu dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel di sana, tentu sahaja Nazim mengharapkan doa dan restu semua sebagai bekalan melayari rumah tangga yang baru sahaja dibina.
Mengimbau kembali apa yang telah berlaku dalam perhubungan mereka, Nazim menyatakan yang mereka pernah putus dua kali sepanjang lima tahun bercinta.
“Kalau diingatkan kembali, saya mengandaikan yang kami sudah tidak ada jodoh. Beberapa tahun dahulu kami pernah berbincang soal perkahwinan tetapi dek kerana masing-masing belum bersedia, perkara tersebut tidak kesampaian.
“Soal perkahwinan bukan perkara yang boleh dibuat main-main dan kerana itu juga kami membawa haluan sendiri. Tapi bila saya terlantar sakit, dia tetap bersama saya semula,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya kepada Bella, pelakon itu mengakui sangat risaukan keadaan suaminya ketika itu.
“Saya sangat risaukan keadaannya bila dapat tahu dia bergelut dengan penyakit tersebut. Walaupun ketika itu masing-masing sudah tidak berhubungan namun perasaan cinta itu masih ada sebenarnya.
“Untungnya kehadiran saya diterima baik kembali. Jadi melalui hal tersebut kami membina semula hubungan cinta yang akhirnya membawa ke alam perkahwinan,” katanya.
Menganggap Nazim sebagai lelaki yang tegas dan sangat berhati-hati, namun Bella mengakui peranan Nazim sebagai pendamping sangat penting dalam hidupnya.
“Bagi rakan-rakan terdekat mungkin sudah mengenali perangai Nazim yang sangat tegas. Bagi saya ketegasan yang ada padanya kena pada tempatnya dan amat diperlukan untuk wanita seperti saya.
“Saya tak kisah dengan hal tersebut memandangkan antara kami juga ada kelebihan dan kekurangan. Pastinya sikap begitu akan melengkapkan perhubungan ini,” akhirinya.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW