KUALA LUMPUR – Lebih 200 orang terpaksa tidur semalaman di pejabat Imigresen UTC Pudu Sentral di sini malam tadi, gara-gara mahu mendapatkan nombor giliran bagi membuat dan memperbaharui pasport mereka.
Utusan Malaysia dimaklumkan, kira-kira pukul 11 malam orang ramai mula membanjiri pejabat Imigresen kerana mahu mendapatkan nombor seawal mungkin untuk berurusan pada keesokan harinya.
Ekoran daripada itu, ratusan orang mula beratur panjang di hadapan pejabat Imigresen hingga ke kawasan meletak kenderaan seawal pukul 5.30 pagi.
Mereka mendakwa terpaksa bertindak sedemikian kerana gagal membuat dan memperbaharui pasport sehari sebelum itu berikutan bilangan orang yang terlalu ramai.
Difahamkan situasi itu tidak hanya berlaku di pejabat Imigresen UTC Pudu Sentral, bahkan keadaan sama juga berlaku di pejabat Imigresen UTC Keramat, Sentul dan Kelana Jaya.
Seorang ahli perniagaan, Jovis Low, 37, berkata, dia datang ke pejabat imigresen pada pukul 5.30 pagi dan mendapat nombor giliran empat jam selepas itu.
“Saya datang ke sini untuk memperbaharui pasport isteri dan anak yang akan ke Hong Kong bulan depan. Saya tidak mempunyai pilihan lain selain datang ke sini kerana pejabat imigresen lain juga terlalu ramai orang.
“Bagi yang datang selepas pukul 6 pagi, mereka tidak akan dapat nombor dan perlu datang semula keesokan harinya,” katanya.
Sementara itu, Nadia Bidres, 30, berkata, masalah yang sama turut dihadapi ketika dia berkunjung ke pejabat Imigresen UTC Sentul.
“Saya datang pukul 8 pagi, dan pegawai imigresen maklumkan nombor giliran telah habis. Disebabkan itu saya memilih untuk ke sini, namun kecewa kerana situasi yang sama berlaku.
“Pihak imigresen perlu menambah baik sistem mereka atau wujudkan perkhidmatan dalam talian bagi memudahkan dan mempercepatkan urusan kedua-dua belah pihak,” katanya yang merancang ke Lombok, Indonesia hujung bulan ini.
Dalam pada itu, Rozairi Abdul Rashid, 30, dari Shah Alam berkata, dia yang datang bersama isteri dan dua orang anaknya terpaksa menunggu sehingga berjam-jam semata-mata untuk memperbaharui pasport mereka.
“Sebelum ini tiada masalah untuk buat atau perbaharui pasport, tetapi kenapa sekarang semakin teruk?
“Saya datang seawal pukul 5.30 pagi dan sehingga pukul 12 tengah hari, masih ada 100 nombor yang tidak dipanggil sebelum saya. Imigresen perlu tambah kaunter dan percepatkan urusan pelanggan,” ujarnya.-Utusan
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW