loading...

Satukan kategori filem tempatan, habis cerita

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menegaskan satu kategori filem cukup untuk menentukan filem tempatan terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28).

 

“Dalam konteks kesatuan di peringkat nasional dan kebersamaan, tidak sepatutnya kamu (FFM) wujudkan kategori yang berbeza.

 

“Patutnya hanya ada satu kategori sahaja, Filem Tempatan. Habis cerita,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN di sini, hari ini.

 

Sebelum ini, isu kategori filem yang diwujudkan, filem dalam bahasa Malaysia dan bukan bahasa Malaysia untuk dipertandingkan pada FFM28 menimbulkan bantahan daripada penggiat dan pencinta filem tempatan.

 

Dua filem, ‘Ola Bola’ dan ‘Jagat’ yang dicalonkan bagi kategori filem terbaik bukan bahasa Malaysia dan tidak dalam kategori utama mengejutkan ramai sehingga ada yang menyatakan ia bakal menjejaskan keharmonian antara kaum di negara kita.

 

Dalam pada itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda BN berkata, menetapkan hanya satu kategori utama tidak akan menggugat kedudukan

bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

 

“Kita mesti juga menghargai bahasa lain yang digunakan di Malaysia. Ada banyak bahasa ibunda lain di Malaysia dan inilah keindahan di Malaysia.

 

“Sudah tentu ada pendapat yang kata filem tempatan sebelum ini didefinisikan sebagai kandungan filemnya (mesti) bahasa Malaysia. Tapi jangan lupa, kita perlu hargai filem seperti Ola Bola, Jagat yang dibuat oleh rakyat kita,” katanya.

 

Tegasnya, tindakan mewujudkan dua kategori filem itu hanya akan memecah-belahkan rakyat.

 

“Ada hanya satu kategori (dikatakan) menggugat bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan tapi dengan ada dua kategori ini, kamu asing-asingkan orang.

 

“Pemuda BN mahu melihat kebersamaan dan kami berpegang kepada 1Malaysia,” katanya.

 

Kontroversi melanda penganjur FFM kali ini menyaksikan beberapa pengarah filem dan penggiat seni tempatan bertindak mengumumkan akan memboikot majlis berkenaan.-Sinar



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Previous
Next Post »
loading...