KOTA BHARU – Proton Holdings Bhd cawangan Kota Bharu akan menjalin kerjasama dengan Pamoga Qu Puteh The Red Warrior (PQPTRW) dengan menyerahkan sebuah Proton Persona yang baharu dilancarkan untuk kegunaan pasukan bola sepak Kelantan itu.
Pengurus Jualan Proton cawangan Kota Bharu, Syahrul Azam Mohd Ramli, berkata kerjasama bertujuan mempromosikan model terbaharu Persona yang dilancarkan serentak di seluruh negara, semalam.
“Apabila PQPTRW menggunakan kereta Persona ini, ia secara tidak langsung akan mempromosikan model terbaharu ini kepada peminat bola sepak tempatan,” katanya selepas melancarkan model Persona di Bilik Pameran Proton Kota Bharu, di sini, semalam.
Yang turut hadir, pemain bola sepak PQPTRW, Mohd Nor Farhan Muhammad dan Faizal Abu Bakar.
Syahrul berkata, perjanjian kerjasama akan dimeterai dalam jangka masa terdekat di antara Proton dan PQPTRW mengikut syarat yang dibincangkan.
Beliau berkata, Proton Cawangan Kota Bharu menyasarkan jualan Persona sebanyak 40 unit sebulan buat permulaan dan sudah menerima tempahan sebanyak 15 unit daripada pelanggan. – BH
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW