loading...

Kontroversi MB Terengganu, Azizulhasni Sudah Selesai

KUALA TERENGGANU  – Kontroversi yang melanda jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman akhirnya selesai secara baik selepas kedua mereka mengadakan pertemuan malam tadi.

 
Memetik laporan Bernama, Ahmad Razif berkata, beliau sentiasa berlapang dada untuk mendengar permasalahan yang berlaku akibat salah faham dan bersyukur kerana isu tersebut telah selesai.

 

“Syukur Alhamdulillah, semuanya selesai,” katanya.

 

Pertemuan yang berlangsung selama dua jam di sebuah restoran di Kuala Lumpur itu turut dihadiri dua lagi atlet berasal dari Terengganu iaitu Fatehah Mustapa (berbasikal) serta Hafifi Mansor (angkat berat).
Sementara itu, ketika pertemuan tersebut, Azizulhasni yang turut mambawa seorang anaknya kelihatan mesra, malah memeluk serta bersalam dengan Ahmad Razif.
“Saya amat berbangga dengan kejayaan anak-anak Terengganu termasuk Azizulhasni,” kata Ahmad Razif.

 

Menerusi laman Facebook miliknya pula, Ahmad Razif menyatakan bahawa beliau tidak pernah mengabaikan anak-anak muda dari Terengganu dan mengakui, apa yang berlaku mungkin disebabkan salah faham.

 

Berikutan itu, beliau memohon agar tiada pihak lain yang memperbesarkan isu itu lagi, yang bagaikan menghidupkan api yang telah padam.

 

“Malah malam tadi ketika makan malam bersama Fatehah, Azizulhasni dan Hafifi, saya telah meluahkan apa yang terbuku di hati dan saya turut mendengar setiap keluh kesah, cabaran serta pengalaman yang mereka lalui untuk berada pada tahap sekarang.

 

“Insya-Allah kita akan usahakan janji yang telah dikatakan iaitu untuk membuka galeri yang akan mempamerkan semua kejayaan yang telah dicapai oleh anak-anak Terengganu, termasuk mereka bertiga supaya generasi akan datang tahu jasa dan bakti yang telah mereka lakukan untuk negeri ini,” luahnya di laman sosial tersebut.

 

Sebelum ini, Ahmad Razif telah mengumumkan bahawa Azizulhasni akan memperoleh insentif dan kerajaan negeri merancang pelbagai program apabila dia pulang ke Terengganu, antaranya mengadakan pameran bergerak serta memahat namanya di Muzium Negeri sebagai wira dalam kecemerlangan sukan.

 

Sementara itu Azizulhasni berkata, pertemuan itu memberi peluang kepadanya dan Ahmad Razif berbincang mengenai pembangunan dan kecemerlangan sukan berbasikal di Terengganu .

 

“Kami berkongsi pemikiran dan pandangan mengenai banyak perkara ke arah kecemerlangan.

 

“Seperti yang saya selalu kata, saya berbangga menjadi rakyat Malaysia dan Terengganu akan selalu di hati saya,” katanya dalam Facebook miliknya.

 

 



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...