SEREMBAN – Anggota Bomba dan Penyelamat Nilai dekat sini berdepan tugas ‘luar biasa’ apabila membantu menyelamatkan seekor kucing yang mengalami komplikasi semasa melahirkan anak di sini semalam.
Kejadian itu berlaku selepas pemilik kucing itu yang merupakan wanita berusia 40-an membawa haiwan tersebut yang seakan-akan sukar bernafas ke balai bomba berkenaan kira-kira pukul 11.30 malam.
Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd. Fauzi Shamir berkata, wanita itu datang dalam keadaan cemas meminta pertolongan kerana satu janin yang telah mati tersangkut dan gagal dikeluarkan.
“Dia datang meminta bantuan kami kerana klinik haiwan berhampiran sudah tutup dan kucing tersebut berada dalam kesakitan.
“Empat anggota bomba segera memberi pertolongan dengan menarik janin yang telah mati itu secara perlahan-lahan bagi menyelamatkan haiwan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Fauzi, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan janin daripada kucing betina warna kelabu itu.
Katanya, meskipun di luar skop tugas pasukannya mengendalikan kes seumpama itu, namun atas dasar kemanusiaan mereka tetap memberi bantuan yang diperlukan.
“Kucing itu berjaya diselamatkan dan diserahkan semula kepada pemiliknya. Kami juga meminta wanita itu membawanya ke klinik haiwan untuk rawatan lanjut,” katanya. – Utusan
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW