loading...

‘Awan Gulung’ Di Pekan Langkap, Gemparkan Penduduk

TELUK INTAN – Awan bergulung seperti ombak gadang yang muncul di ruang angkasa Pekan Langkap dan Chui Chak pagi semalam menggemparkan penduduk sekitar kawasan itu.

 

Fenomena bentuk awan yang kelihatan seperti tsunami itu dapat dilihat penduduk berkenaan selama kira-kira 15 minit.

 

Sejurus selepas itu, langit tiba-tiba berubah menjadi gelap dan hujan turun dengan lebatnya hampir satu jam membasahi bumi Langkap dan Chui Chak.

 

Formasi awan luar biasa berbentuk “ombak besar” dan “puting beliung” itu berlaku antara pukul 7.30 hingga 8 pagi, dan viral di media sosial.

 

Ada pengguna media itu menzahirkan rasa gerun dengan fenomena itu.

 

Menurut Ketua Kampung Chui Chak, Yeap Lai Hock, ketika kejadian beliau dan beberapa anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung sedang bergotong-royong membersihkan dewan kampung itu.

 

“Saya dan kawan-kawan rasa sangat teruja dan terus menangkap gambar,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

 

Menurut Yap, tidak lama selepas itu, langit terus berubah menjadi gelap dan hujan turun dengan lebatnya hampir satu jam.

 

Beliau berkata, sepanjang 54 tahun tinggal di Langkap beliau tidak pernah melihat kejadian seumpama itu sebelumnya.

 

 

Fenomena semulajadi

 

Sementara itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengesahkan formasi pembentukan awan luar biasa itu dan menganggap ia fenomena semula jadi.

 

Menteri berkenaan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 10.30 pagi hingga 11 pagi.

 

Katanya ia disebabkan pembentukan garis badai berserta kejadian awan bergulung atau “roll cloud” dan ia tidak berbahaya seperti garis badai.

 

Kejadian sama pernah berlaku di kawasan Pantai Barat Sabah pada 27 Jun lepas; Kota Bharu, Kelantan (Ogos 2015); Sungai Petani, Kedah (2014) dan Kota Kinabalu, Sabah pada Jun 2012.

 

Garis badai merupakan sekumpulan barisan awan ribut petir bergerak dari arah laut ke daratan dan selalunya berlaku ketika Monsun Barat Daya iaitu dari Jun hingga September di kawasan pantai barat Sabah dan di Selat Melaka.

 

Awan jenis bergulung pula terbentuk disebabkan oleh ricihan angin menegak iaitu terdapat perbezaan ketara kelajuan dan arah angin.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
Previous
Next Post »
loading...