Washington – Pemimpin kumpulan Al-Qaeda, Osama bin Laden menggariskan dalam beberapa surat dan dokumen tentang bagaimana dana dan harta miliknya yang bernilai sekurang-kurangnya AS$29 juta (RM120 juta) perlu dibahagikan selepas kematiannya dan meminta sebahagian besar dana itu digunakan untuk meneruskan jihad global.
Sepucuk surat itu yang merupakan sebahagian daripada koleksi 113 dokumen yang dirampas dalam serbuan komando Amerika Syarikat (AS) pada 2011 disifatkan sebagai wasiat terakhir Osama. Ketua Al-Qaeda itu terbunuh dalam serbuan di bandar Abbottabad, Pakistan.
Agensi berita Reuters dan stesen televisyen ABC diberi akses eksklusif kepada dokumen yang diterjemahkan daripada Bahasa Arab itu.
Semua kertas itu merupakan sebahagian daripada sejumlah dokumen yang dirampas dalam operasi tersebut dan tidak lagi diklasifikasi sebagai sulit sejak Mei 2015. Sebahagian dokumen lain menunggu masa untuk didedahkan kepada umum.
Sepucuk nota tulisan tangan yang dipercayai ditulis oleh Osama pada akhir tahun 1990-an menyatakan bagaimana dia mahu mengagihkan harta berjumlah AS$29 juta (RM120 juta) miliknya di Sudan.
Berdasarkan nota itu, satu peratus daripada harta itu perlu diberikan kepada militan kanan al-Qaeda, Mahfouz Ould al-Walid yang menggunakan nama gelaran Abu Hafs al Mauritani.
“Bagaimanapun, dia (Mahfouz) telah pun menerima antara AS$20,000 (RM84,370) hingga AS$30,000 (RM126,555) daripada dana itu.
“Saya berjanji akan memberi ganjaran kepadanya jika dia menjatuhkan kerajaan Sudan,” kata Osama.
Osama tinggal di Sudan selama lima tahun sehingga dia diminta meninggalkan negara itu pada Mei 1996 selepas kerajaan Sudan menerima tekanan daripada AS. – Reuters