loading...

Video: Rani Kulup Yakin Filem Kipidapp Akan Pecah Panggung

KUALA LUMPUR — Penampilan sulungnya dalam Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi membuatkan Abdul Rani Kulup Abdullah bertambah yakin filem itu mampu mengatasi kutipan tertinggi.

 

Bukan itu sahaja, Rani, 61, malah berkata penerbit filem pada masa akan datang perlu memberikannya watak yang lebih mencabar.

 

Beliau juga mencadangkan siri animasi atau komik yang diinspirasikan daripada perwatakannya yang dilihat “unik”, khususnya penampilannya dalam pakaian seragam ketika muncul membuat aduan di balai polis.

 

“Mereka bukan apa, mereka nak tengok ayah berlakon macam mana. Bukan pelakon-pelakon lain,” katanya dalam satu wawancara bersama ProjekMMO, membahasakan dirinya sebagai “ayah”.

 

“Ayah berdoa supaya filem ini orang tengok. Ramai nak lihat Rani Kulup berlakon. Banyak watak ayah di situ. Babak disiarkan di iklan sedikit sahaja.

 

“Bakat ayah dalam filem ini. Kalau boleh biar ia mencecah mengalahkan filem top ‘Ola Bola’, biar pecah panggung. Ayah gesa seluruh rakyat tengok filem ini,” tambahnya, yang mengangkat dirinya sebagai “raja report” polis.

 

Kipidapp! Selamatkan Hari Jadi, memulakan penggambaran Ogos tahun lalu, membariskan Hafreez Adam, Atikah Suhaime, Kartina Aziz, Vicha Saywho, Julia Farhana Marin dan Aizat Hassan.

 

Rani, yang dikenali dengan slogannya “kipidap” atau bahasa pasar “keep it up”, membawa watak “Tok Daddy” yang dipadankan dengan “Nanny Rockie,” lakonan Kartina.

 

Filem terbitan MIG Pictures itu diarahkan oleh Eyra Rahman, pertama kali mengarahkan filem komedi di bawah syarikat David Teo.

 

Rani meyeru penggiat-penggiat industri kreatif menerbitkan karekter “Kipidap” dalam animasi sebagai hiburan kepada kanak-kanak.

 

“Ayah ada cakap dengan MiG, ayah nak buat filem ‘Kipidap Dongibab’ bersiri tentang perjuangan ayah selama 10 tahun dalam NGO.

 

“Ayah sarankan buat kartun. ‘Kipidap’ dah ada, buatlah. Buat komik kisah ayah. Unik Rani Kulop ini. Rugilah orang tak ambil kesempatan atas populariti ayah,” katanya.

 

Presiden NGO Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) berkata penonton yang menyaksikan filem itu juga terbuka untuk melemparkan kritikan terhadap mutu lakonannya.

 

“Di sini penonton boleh menilai bagaimana ayah berlakon, bolehkah ayah menonjol lagi dalam bidang lakonan.

 

“Nak komen atau kritik, buatlah. Tak apa, sebab ini bidang baharu yang ayah ceburi dalam faktor umur ayah sudah 60-an.

 

“Semangat ayah masih kuat lagi. Ini yang harus kita tunjuk kepada masyarakat, umur tidak jadi masalah untuk apa-apa aktiviti demi masyarakat dan negara,” katanya.

 

Pesara tentera ini, yang pernah menyertai kugiran pop yeh yeh Sometimes pada 1960-an, menghasilkan buku Ayahanda Rani Kulup #Kipidap tahun lalu susulan penonjolan luar biasanya di Internet. – MalayMail

 

Previous
Next Post »
loading...