PETALING JAYA – Seorang bekas pramugara syarikat penerbangan Malaysia (MAS) yang diberhentikan kerja tahun lepas memilih kerjaya menjadi pemandu teksi sebagai punca rezeki untuk menyara kehidupannya dan keluarga.
Zullifan Che Din, 51, tidak kekok dengan kerjaya baharunya itu selepas membuat keputusan tersebut yang dianggap mempunyai persamaan dengan bidang yang diceburinya sebelum ini.
Bekas pramugara yang telah berkhidmat selama 25 tahun di syarikat penerbangan berkenaan ketika ditemui FMT berkata, dia selesa dengan apa yang dilakukannya pada masa ini kerana dapat mengadaptasikan pengalamannya yang lalu dengan kerjaya baharunya itu.
Katanya, dia cuba membawakan kelainan kepada penumpang yang mendapatkan perkhidmatannya untuk merasai layanan seperti mereka berada di dalam pesawat sedangkan hakikatnya mereka berada di dalam teksi.
“Teksi saya ni saya buat macam kapal terbang sikit. Saya letak majalah atau surat khabar di belakang dan saya juga ada sertakan minuman kepada penumpang kalau saya rasa perjalanan itu jauh.
“Kadang-kadang ada juga penumpang yang tak nak tapi saya kata padanya saya bukan jual sekadar nak jadikan ia sebagai `welcome drink’. Ramai yang kata surprise sebab pertama kali naik teksi ada minuman,” katanya.
Menceritakan detik permulaan dia boleh tercebur dengan kerjaya baharunya itu, Zullifan berkata, pada mulanya keputusan dia hendak menjadi pemandu teksi tidak dipersetujui oleh anak lelakinya.
Namun, selepas boleh menerima hakikat bapanya tidak lagi mempunyai rezeki dalam bidang pramugara, anak lelakinya telah mempromosikan khidmat yang disediakan olehnya di Facebook hingga mendapat perhatian seorang artis tempatan yang ingin mendapatkan khidmatnya.
“Teksi ni macam juga kapal terbang. Ia membawa penumpang dari satu tempat ke satu tempat.
“Saya suka teksi ni. Di sini saya jadi pilot dan saya juga adalah pramugara. Kadang-kadang tempat yang tak pernah terfikir untuk kita pergi tapi akan sampai ,” ujarnya.
Bagaimanapun, dia tidak menafikan berasa rindu dengan kerjaya lamanya sebagai pramugara ekoran sebahagian usianya dihabiskan di situ.
“Kadang-kadang kita rindu juga rasanya nak dikelilingi dengan rakan-rakan pramugara dan pramugari cantik-cantik tu kan.
“Rindu juga macam nak pergi ke Perth, Melbourne, Sydney dan tempat-tempat yang selalu kita pergi tu. Saya takkan pergi lagi ke tempat tu kot. Takde duit,” guraunya mengakhiri perbualan. – FMT