KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini secara sinis melabel Lim Kit Siang sebagai ‘paling bijak’ selepas Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegur teks ucapan perasmian Parlimen yang dibacakan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sebagai disediakan oleh kerajaan.
“Beliau yang paling bijak,” kata Pandikar di sidang medianya, petang tadi.
Pandikar, bagaimanapun memaklumkan tidak ada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap veteran DAP itu meskipun sikap Kit Siang itu melanggar etika ahli Dewan Rakyat.
“Biarlah rakyat yang tentukan. Tidak ada tindakan yang akan kita ambil. (Namun) ia melanggar etika sebagai seorang ahli parlimen kerana ia tidak sepatutnya diperkatakan.
“Kenapa beliau (Kit Siang) tidak buat kenyataan terhadap titah Permaisuri England yang ditulis oleh David Cameron? Tidak ada pula yang perkatakan hal itu,” katanya lagi.
Tegas Pandikar lagi, tidak ada perkara yang pelik dalam amalan mana-mana ucapan Yang Dipertuan Agong disediakan oleh kerajaan, malah ia turut diaplikasikan di negara-negara lain seluruh dunia.
Isnin lalu, Kit Siang menyindir titah ucapan YDPA, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang padanya disediakan oleh kerajaan untuk menyokong pentadbiran parti pemerintah yang ada pada hari ini.
Tuanku Abdul Halim ketika merasmikan sidang dewan pada Isnin bertitah agar semua wakil rakyat berhenti untuk terlalu berpolitik sebaliknya fokus kepada berbakti kepada rakyat. – SuaraTV