Kuala Lumpur – Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim menyelar tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar jangan keterlaluan dengan meminta orang lain meletakkan jawatan.
Menurut Rais lagi, sebarang keputusan untuk memaksa Perdana Menteri meletakkan jawatan harus dilakukan melalui pilihanraya sambil menyifatkan Najib sebagai anak asuhan Mahathir.
“Tun Mahathir jangan keterlaluan untuk meminta orang lain turun (meletakkan jawtaan) sebagai perdana menteri kerana ketika beliau berkuasa dulu, macam-macam benda telah berlaku kerana ketika berada di dalam kabinet beliau dahulu, saya hormat kepada beliau.
“Tetapi apabila Datuk Seri Najib yang merupakan anak asuhan beliau sendiri (menjadi perdana menteri) disuruh turun, dahulu (pun) Pak Lah (Abdullah Badawi) juga juga disuruh turun (namun) mesti melalui cara yang betul iaitu lunas undang-undang (pilihanraya),” katanya di majlis Alumni Homecoming 2016 UIA.
Rais berkata, dia tidak pernah menduga Tun Mahathir akan membuat pendekatan seperti itu.
“Saya tidak menduga Tun M akan membuat taktik seperti itu sebab beliau sebelum ini tidak dikenal sebagai yang mesra Kit Siang, tidak mesra dengan PKR dan tidak mesra dengan banyak pihak yang pada satu ketika dulu beliau sangat kritis terhadapnya.
“Dalam hal yang sedemikian, perhimpunan hari jumaat itu boleh saya anggap sebagai perhimpunan politik yang agak terdesak dalam keadaan yang tidak menentu,” katanya lagi. – SuaraTV