loading...

Umno Mungkin Panggil Mesyuarat Tergempar Bincang Nasib Muhyiddin, Mukhriz

Kuala Lumpur – Umno dilaporkan akan memanggil mesyuarat tergempar bagi membincangkan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menandatangani Deklarasi Rakyat, pada Jumaat lalu.

 

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Hassan Malek berkata Umno tidak boleh bertolak ansur dengan mereka yang bekerjasama dengan musuh parti.

 

Menurutnya Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mungkin akan mengadakan satu mesyuarat tergempar tidak lama lagi bagi membincangkan perkara itu.

 

“Kami biasanya mempunyai mesyuarat sekali setiap bulan tetapi saya percaya perkara ini memerlukan mesyuarat tergempar.

 

“Kami perlu melakukan sesuatu mengenainya kerana jika anda mahu bersama kami, anda bekerja dan menyokong kami. Sebaliknya ia lebih teruk lagi,” katanya sambil menyifatkan tindakan dua pemimpin itu yang menandatangani deklarasi amat memalukan parti.

 

“Mereka terlupa bahawa ini adalah musuh utama dan mereka duduk bersama dengan menandatangani deklarasi tersebut,” katanya lagi.

 

Terdahulu Muhyiddin bertindak menandatangani Deklarasi Rakyat bersama lebih 50 pemimpin lain bagi menyatakan sokongan ke arah usaha penyingkiran Najib selaku Perdana Menteri.

 

Deklarasi itu yang dicetuskan pengkritik tetap Najib yang juga mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut ditandatangani pemimpin parti pembangkang.

 

Muhyiddin terdahulu minggu lalu digantung jawatan sebagai Timbalan Presiden Umno kerana gagal membantu presiden, manakala Shafie tidak dikenakan sebarang tindakan.

Previous
Next Post »
loading...