Sejak ditayangkan di seluruh negara pada 25 Februari lalu, filem Munafik mendapat sambutan hangat peminat.
Laporan BH online menyebut, berdasarkan kutipan memberangsangkan memungkinkan karya arahan Syamsul itu menghampiri kutipan RM10 juta dalam tempoh dua minggu tayangan.
Pada tahun 2011, filem Khurafat garapan Syamsul memungut RM7.9 juta. Teruja dengan reaksi peminat, Syamsul memuat naik gambar yang memaparkan penonton berbilang kaum berpusu-pusu di kaunter tiket untuk menyaksikan filem Munafik.
Syamsul juga berkongsi status seorang pengguna laman sosial yang dipercayai berdarah campuran Cina dan Thailand yang menceritakan pengalaman menonton filem berkenaan.
Antara komen yang ditulis dalam bahasa Thailand dan Inggeris berbunyi: “Munafik, filem seram Melayu terbaik yang pernah saya tonton dan saya satu-satunya penonton Cina dalam pawagam sekarang.
“Syamsul Yusof sudah membuktikan dia adalah pengarah filem seram terbaik buat masa ini yang mampu mencipta penjenamaan tersendiri menerusi filem Munafik.
“Saya beri tepukan besar dan penghargaan buat Munafik apabila mampu membuatkan kita melompat dan menjerit ketakutan yang ekstrem.”
Selain Syamsul, Munafik dibintangi Nabila Huda, Datuk Rahim Razali, Pekin Ibrahim, Fizz Fairuz, A Galak dan Sabrina Ali.