Kuala Lumpur – Pergerakan Pemuda Umno melahirkan rasa kesal dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersekongkol bersama pimpinan pembangkang untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Exco Pemuda, Nazir Hussin Akhtar Hussin melalui satu kenyatan yang dikirim kepada SuaraTV berkata sedih dengan tindakan Dr Mahathir yang mengamalkan prinsip matlamat menghalalkan hanya kerana mahu melihat Perdana Menteri digulingkan daripada jawatan.
“Selama 22 tahun beliau berjasa membangunkan negara namun akhirnya Tun Dr Mahathir sebagai bekas Presiden UMNO telah memilih untuk bersama pembangkang semata-mata untuk merealisasikan agendanya itu dan
memberikan tauladan yang buruk di hujung karier politiknya.
“Lebih menyedihkan, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut bersama Tun Dr Mahathir dalam agenda untuk memusnahkan Datuk Seri Najib Tun razak dan juga UMNO sendiri” katanya memetik kenyataan tersebut.
Nazir yang juga merupakan Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan pergerakan itu turut menegaskan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tepat.
“Malah Pergerakan Pemuda UMNO juga melihat tindakan Muhyiddin dan Mukhriz ini seolah-olah mencabar UMNO untuk memecat mereka daripada parti, sekaligus membuka perwatakan mereka yang sebenarnya bahawa merekalah sebenarnya dalang yang cuba menghancurkan UMNO.
“Kami Pergerakan Pemuda UMNO akan berdiri teguh di belakang Datuk Seri Najib Tun Razak dan merapatkan saf mempertahankan perti keramat ini agar tidak diganggu-gugat anasir asing, sekaligus memastikan tiada ‘gunting dalam lipatan’ dalam UMNO,” ujarnya lagi. – SuaraTV