loading...

MT UMNO Usul Pecat Muhyiddin, Mukhriz

Kuala Lumpur – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz akan mengusulkan pemecatan ahli UMNO yang terbabit dalam Deklarasi Rakyat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) akan datang.

 

Nazri berkata, Timbalan Presiden UMNO yang digantung, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir bertindak melampaui batas kerana menjadi sebahagian daripada komplot menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak.

 

Katanya, UMNO boleh mencontohi tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyingkirkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR daripada agensi kerajaan kerana gagal menyokong kepemimpinan negeri, baru-baru ini.

 

“Pandangan peribadi saya ialah pecat mereka daripada parti, sama macam Guan Eng pecat dua ADUN PKR dalam agensi kerajaan negeri kerana tidak undi menentang usul yang dibawa wakil rakyat UMNO. Kita akan ikut cara mereka (DAP),” katanya.

 

Mengulas lanjut, ketika mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO lalu, beliau menentang pemecatan keahlian UMNO Muhyiddin, sebaliknya hanya bersetuju untuk menggantung jawatan.

 

“Sebelum ini beliau hanya mengkritik, namun sekarang beliau sudah melampaui batas dengan duduk bersama pembangkang,” katanya.

 

Pandangan tersebut turut disokong ahli MT, Datuk Puad Zarkashi untuk memecat Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah daripada parti itu.

 

Menurutnya penyertaan mereka dalam deklarasi untuk menyingkir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ‘tidak boleh lagi dimaafkan’.

 

“Mereka harus dipecat dan kali ini, saya sendiri akan mencadangkannya kepada Majlis Tertinggi,” katanya.

 

Puad berkata, beliau juga membuat cadangan yang sama supaya MT menggesa Muhyiddin meletak jawatan dan beliau juga akan meminta semua pemimpin UMNO bahagian untuk bersatu meminta Muhyiddin dan Mukhriz dipecat.

 

“Keputusan mereka untuk bersekongkol dengan DAP dibuat dengan sengaja. Ia adalah satu pengkhianatan terhadap apa yang diperjuangkan UMNO selama ini iaitu menolak agenda DAP,” katanya.

 

Puad mendakwa Muhyiddin dan Mukhriz kini menjadi ‘tali barut’ kepada DAP dengan membawa pengaruh parti sekular ke dalam UMNO.

 

“Dalam lain perkataan, Muhyiddin dan Mukhriz mahu memusnahkan UMNO dari dalam,” katanya.

 

Muhyiddin digantung selaku Timbalan Presiden oleh Majlis Tertinggi parti berkenaan dua minggu lalu, manakala Mukhriz hilang jawatan Menteri Besar Kedah selepas tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN).

 

Muhyiddin dan Mukhriz adalah antara 58 individu yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani Deklarasi Rakyat.

 

Antara individu yang menandatanganinya ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, veteran DAP, Lim Kit Siang dan Anggota Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. – SuaraTV

Previous
Next Post »
loading...