loading...

Mahathir, Mukhriz, Muhyiddin Setuju Dokong Agenda Pembangkang

Kuala Lumpur – Tun Mahathir Mohamad, anaknya Datuk Seri Mukhriz dan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini secara rasmi menyertai pemimpin pembangkang dan aktivis untuk menggulingkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Dalam ucapannya Mahathir yang membakar jambatannya dengan Umno untuk kali kedua, akur beliau berkongsi pentas dengan pembangkang dan aktivis yang berlainan perjuangan.

 

“Namun kita semua di sini sebagai rakyat Malaysia. Kita tidak mewakili mana-mana parti atau NGO,” kata Mahathir sebelum menandatangani deklarasi menolak pentadbiran Najib di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

 

Antara pemimpin pembangkang kelihatan di majlis yang berjudul “Selamatkan Malaysia” setakat ini adalah Lim Kit Siang (DAP), Datuk Seri Azmin Ali (PKR), Datuk Mustafa Ali, Mahfuz Omar (PAS), Datuk Kamaruddin Jaafar (PKR), Tian Chua (PKR), Mohamad Sabu dan Sallehudin Ayob (Parti Amanah Negara).

 

Bagaimanapun tiada ahli keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis berkenaan walaupun Ketua Umum PKR itu, semalam menyatakan sokongan terhadap usaha Mahathir melancarkan gerakan bagi menjatuhkan Najib.

 

Selain pembangkang, beberapa aktivis seperti Datuk S. Ambiga dan Maria Chin Abdullah turut hadir pada majlis itu.

 

Kesemua mereka sebelum ini adalah pengkritik paling lantang Mahathir sepanjang 22 tahun beliau menerajui negara dan Umno.

 

Dokumen berjudul Deklarasi Rakyat yang ditandatangani 58 pemimpin pembangkang, aktivis dan bekas wartawan banyak mengitar semula tuduhan-tuduhan Mahathir terhadap Najib mengenai hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sumbangan RM2.6 bilion.

 

Dengan menandatangi deklarasi itu, Mahathir, Mukhriz dan Muhyiddin sekaligus menzahirkan kesediaan mereka untuk melaksanakan agenda pembangkang seperti pemansuhan undang-undang yang dilihat bercanggah dengan hak asasi serta rombakan semula institusi-institusi seperti polis, Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

 

Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz menyertai program anti-Najib ini setelah dilihat gagal memujuk akar umbi Umno untuk memberi tekanan kepada Najib.

 

Muhyiddin yang digantung sebagai timbalan presiden parti semalam berkata beliau akan memberikan sokongan kepada sebarang program yang difikir membawa kebaikan untuk negara.

Previous
Next Post »
loading...