Laporan mStar online hari ini menyebut, bekas isteri penyanyi rock popular Awie, Rozana Misbun cuba menyembunyikan punca sebenar kecederaan yang dialaminya.
Menurut pakar bedah am, Jabatan Kecemasan, Pusat Perubatan Taman Desa, Dr Chan Kin Yoong berkata beliau juga tidak memaksa Rozana, 38, untuk memberitahu punca kecederaan itu kerana ia adalah hak pesakit.
“Dia cuba untuk melindungi sesuatu. Dia tidak memberitahu saya apa punca kecederaan, dia juga tidak beritahu kenapa,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene.
Dr Chan merupakan saksi pendakwaan kelapan yang dipanggil memberi keterangan pada prosiding perbicaraan kes Awie yang dituduh sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada Rozana, dua tahun lepas.
Saksi itu, yang berkhidmat sebagai pakar bedah sejak 2005, berkata hasil pemeriksaan beliau terhadap Rozana mendapati wanita itu mengalami kecederaan di kedua-dua belah mata, tangan, lengan dan bahagian kiri anggota badan termasuk hidung, telinga, leher, dada dan rusuk kiri.
“Kecederaan itu disebabkan objek tumpul. Ianya berbeza jika seseorang itu jatuh, kecederaannya adalah di kedua-dua bahagian anggota badan,” katanya.
Dr Chan memberitahu beliau merawat Rozana pada 5 Jun 2014 dan membuat pemeriksaan X-ray serta pesakit itu dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. Bagaimanapun Rozana meminta untuk pulang selepas dua hari menjalani rawatan.