KUALA LUMPUR — Hampir pasti menaja pasukan bola sepak Kedah, syarikat kosmetik D’Herbs Holdings Sdn Bhd bersedia untuk menggugurkan syarat slogan “Terlajak Gol” yang diletakkannya dalam rundingan sebelum ini.
Datuk Aliff Syukri Kamarzaman berkata, disebabkan bapa mertuanya juga penyokong kuat Kedah, kali ini pihaknya tidak tetapkan sebarang syarat dan hanya mahu melihat skuad Helang Merah maju dalam industri.
“Memanglah sebelum ini saya ada bercadang untuk menjadikan ‘terlajak gol’ sebagai slogan untuk pasukan yang ditaja.
“Tetapi kalau perkara itu nampak melucukan dan hanya membuatkan arena bola sepak tempatan kelihatan ‘murah’, maka saya sedia mengabaikannya,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia, hari ini.
Aliff Syukri yang terkenal dengan slogan “Terlajak Laris” bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah tajaan yang bakal diberikan kepada juara Liga Perdana 2015 itu.
Beliau turut menafikan dakwaan menutup pintu tawaran kepada Kedah selepas berlakunya krisis pertukaran menteri besar awal tahun ini.
“Cumanya orang yang mula-mula berbincang dengan saya adalah Datuk Mukhriz Mahathir,” katanya, merujuk kepada mantan menteri besar yang digantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
“Jadi apabila beliau tidak lagi menjadi menteri besar takkanlah saya beriya-iya mahu mahu menonjolkan diri untuk menaja kerana tiada sesiapa yang datang mempelawa.
“Tetapi akhirnya perbincangan itu diteruskan juga. Insya Allah kita akan melihat hasilnya dalam masa terdekat,” katanya. – MalayMail