loading...

Anwar Sokong Mahathir-Muhyiddin Guling Najib

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan sokongan terhadap gerakan Datuk Seri Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

 

Anwar melalui kenyataan yang dikirim kepada SuaraTV berkata Najib telah gagal mentadbir negara.

 

“Persefahaman bersama ini akan menumpukan untuk menuntut perletakan jawatan Dato’ Sri Najib selaku Perdana Menteri yang telah nyata gagal mentadbir negara. Beliau bertanggungjawab meneruskan tindakan-tindakan politik rakus, merosakkan institusi pemerintahan dan membebankan rakyat dengan kegawatan ekonomi yang berterusan.

 

“Pada masa yang sama, tuntutan perubahan ini semestinya akan melibatkan reformasi institusi utama dalam negara yang sudahpun retak dan parah di bawah pentadbiran Dato’ Sri Najib,” katanya memetik kenyataan tersebut.

 

Anwar turut menegaskan gabungan yang bakal dibentuk itu harus melupakan permusuhan peribadi bagi ‘menyelamatkan Malaysia.

 

“Kita juga telah belajar dari pengalaman sejarah bahawa peralihan kuasa yang bermakna bukanlah peralihan tokoh semata tetapi perubahan sistem.

 

“Justeru itu saya tegas menggesa rakan-rakan dan rakyat bersama dalam usaha ini tanpa membataskan ia sebagai agenda peribadi mahupun permusuhan peribadi. Kita harus merangka halatuju baru bagi menyelamatkan negara,” ujarnya lagi.

 

Terdahulu Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata pimpinan Harapan Rakyyat akan mengadakan satu sidang akhbar khas bersama Mahathir esok berhubung cadangan membentuk muafakat bersama bagi ‘menyelamatkan Malaysia’, susulan masalah politik semasa negara.

 

Sementara itu Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata tidak menolak keputusan PKR untuk bersama-sama dengan Mahathir kerana parti itu terlalu obses untuk mendapatkan kuasa.

 

“Ini merupakan tempoh ujian bagi PKR kerana rakyat sedang melihat dan menilai hala tuju sebenar aspirasi parti itu sama ada mahukan perubahan atau sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan kuasa

 

“Dengan membawa aspirasi reformasi dan meletakkan Tun Mahathir sebagai kepala (ketua) merupakan satu perkara yang amat hodoh dan bodoh,” tegasnya pula.

 

Pemerhati politik menyifatkan “dendam” Mahathir menjatuhkan Najib sebagai penggerak utama mantan perdana menteri itu keluar Umno dan kini bermuafakat dengan pembangkang.

 

Mahathir sebelum ini turut mengadakan pertemuan dengan tokoh DAP Lim Kit Siang dan bersetuju menghadiri perjumpaan dengan pimpinan pembangkang pada 27 Mac. – SuaraTV

 

Laporan Lanjut Menyusul

Previous
Next Post »
loading...