loading...

PFAM Sedia Bantu Pemain Fahami Kontrak

KUALA LUMPUR – Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bersedia membantu pemain memahami isi kandungan kontrak bagi mengelak sebarang kekeliruan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail, berkata perkara paling penting bagi pemain ialah benar-benar memahami dan mematuhi kontrak yang ditandatangani kerana jika tersilap langkah, ia membawa kemudaratan lebih besar dan boleh menjejaskan kerjaya mereka.

 

Beliau menjelaskan, pemain juga perlu meletakkan kontrak yang ditandatangani sebagai satu perkara yang perlu difahami, dipatuhi dan dihormati.

 

“Berdasarkan peraturan, seorang pemain tidak boleh mempunyai dua kontrak pada waktu yang sama dan sesebuah pasukan hanya boleh berunding secara terus dengan pemain dalam tempoh tiga bulan terakhir kontrak seseorang pemain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Izham berkata demikian sebagai mengulas hasrat pemain pertahanan Selangor, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, untuk menebus kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berjumlah RM960,000, selepas dikatakan cuba dipancing kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

 

Pengurus pasukan Selangor, Amirudin Shari, dalam kenyataan media semalam, menegaskan Mohd Azrif Nasrulhaq, 24, menjadi milik FAS selepas menandatangani kontrak lanjutan bersama skuad Gergasi Merah sehingga 2017, minggu lalu.

 

Mengulas lanjut, Izham berkata, mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan pemain daripada pasukan lain perlu melakukan rundingan dengan pasukan asal pemain terbabit bagi mengelak konflik kepentingan antara kedua-dua pihak.

 

Pada masa sama, beliau turut menghormati keterbukaan JDT untuk menerima nasihat persatuan berkenaan dalam isu itu serta penerimaan pasukan Selangor bagi memastikan isu berkenaan tidak berlarutan.

 

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik kelab JDT menerusi video klip yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi JDT, ‘Johor Southern Tigers’, hari ini memohon maaf atas kesilapan dilakukan oleh pencari bakat pasukan itu.

 

Semalam, Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd Fahmy Yahya turut mengakui pencari bakat JDT telah melakukan kesilapan dengan cuba memancing khidmat pemain berkenaan, walaupun beliau masih mempunyai kontrak dengan Selangor. – Bernama

Previous
Next Post »
loading...