SINGAPURA – Juara Piala AFC, Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka menghadapi suatu gelombang persaingan yang hebat dari seberang Selat Tebrau, musim ini.
“Tampines Rovers bukan hanya mengidamkan tiga gelaran juara dalam liga tempatan tetapi ingin mengikut jejak langkah pasukan Liga Super Malaysia, JDT dengan memenangi Piala AFC,” kata TODAYonline.com.
Laporan itu menyebut, kelab bola sepak Singapura itu yang dikenali sebagai The Stags dipandang sebagai pasukan terkuat dalam Liga-S, musim ini.
Pasukan itu mempunyai sembilan bekas pemain Lions XII, bekas pemain Arsenal dan Liverpool, Jermain Pennant, pemain Young Lions, Jordan Webb dan pemain pasukan Singapura seperti Mustafic Fahrudin dan Noh Rahman.
“Saya beritahu setiap pemain, saya mahu mereka untuk mencapai impian sejauh mungkin. Kami perlu pergi sejauh yang kami mampu dalam kelayakan Liga Juara-juara Asia (ACL).
“Jika kami layak untuk peringkat kumpulan dalam ACL, itu sudah baik. Jika tidak, maka kami mesti beraksi dengan baik dalam Piala AFC. Tanggungjawab pemain ialah meletakkan bola sepak Singapura di peta serantau,” kata Ketua Jurulatih Tampines Rovers, V Sundramoorthy.
TODAYonline.com dilaporkan berkata, Piala AFC adalah pertandingan kelab tahap dua Persekutuan Bola Sepak Asia di belakang ACL dan menawarkan hadiah utama AS$1 juta atau kira-kira RM4.36 juta.
Harimau Selatan memenanginya tahun lalu. Menurut laporan itu, sejak 2004, Tampines beraksi sebanyak tujuh kali dalam Piala AFC, melangkah ke suku akhir dari 2005-07 tetapi tersingkir di peringkat kumpulan dari 2012-14.
“Persembahan terbaik kelab dari Singapura ialah pada pertandingan 2014 apabila kedua-dua kelab, Home United dan Geylang International (sebelum itu dikenali sebagai Geylang United) bermain hingga peringkat separuh akhir.
“Yang bagusnya ialah pemain Lions XII sudah mengenali sesama mereka, pernah bermain bersama beberapa tahun sebelum ini. “Sekarang ialah untuk mewujudkan persefahaman yang kuat dengan pemain antarabangsa untuk bekerja sebagai satu unit.
Jika JDT boleh menang Piala AFC, kami tidak berapa jauh lagi,” kata Sundram. – Bernama