loading...

Bunyi Bising Yang Kuat Dan Alat Yang Tajam Di Klinik Gigi Boleh Gangu Anak Autisme. 10 Tip Persediaan Untuk Panduan Ibu Bapa

Menurut sebuah kajian dalam jurnal Pediatric Dentistry, hampir separuh daripada ibu bapa dengan anak autisme menggambarkan keadaan gigi anak mereka sebagai sederhana atau teruk.

Ini tidaklah menghairankan kerana lawatan ke klinik gigi boleh menjadi sangat mencabar untuk anak autisme. Ransangan deria yang berlebihan daripada bau aneh, bunyi kuat dan alat tajam, rasa takut dengan orang dewasa yang bertopeng dan proses rawatan yang tidak diketahui apa dan bila akan berakhir; semuanya sangat menyukarkan kanak-kanak autisme bertenang. Walaupun sukar, terdapat beberapa tip yang boleh anda cuba untuk membantu membawa anak anda ke klinik gigi.

1. Cari Doktor Gigi yang Sesuai

Pastikan doktor gigi yang akan anda kunjungi mempunyai pengalaman dengan anak keperluan khas. Tidak semua orang dapat menguruskan keperluan tambahan kanak-kanak autisme. Sesetengah klinik gigi mempunyai pakar gigi khusus untuk kanak-kanak dengan keperluan khas. Sekiranya anda tinggal di kawasan tanpa doktor gigi yang terlatih dalam keperluan khas, lakukan yang terbaik sebagai ibu bapa dengan mendidik pasukan pergigian untuk mempersiapkan mereka menghadapi anak anda.

2. Main Permainan Doktor Gigi di Rumah

Sebelum anda memperkenalkan anak anda kepada doktor gigi, dapatkan beberapa instrumen pergigian supaya mereka dapat melihat dan memegang instrumen tersebut. Dengan ini, anak anda akan tahu bahawa alat tersebut tidak akan menyakiti mereka. Jika anak anda mula mengambil bahagian, lakukan pemeriksan gigi olok-olok di rumah. Latih anak anda berbaring semasa mereka membuka mulut mereka.

3. Rakam Gambaran Sebelum

Anda boleh meminta izin kepada klinik gigi tersebut untuk mengambil gambar atau merakam di luar bangunan dan di dalamnya. Jika boleh, ambil juga gambar doktor gigi tersebut. Semakin banyak anak ada melihat gambar dan menjadi terbiasa dengan persekitaran yang ditunjukkan, semakin mudah anak anda menyesuaikan diri. Ini membolehkan anak anda tidak merasa terancam kerana melihat klinik tersebut tanpa ransangan deria seperti bunyi atau cahaya yang asing baginya.

4. Reka Cerita Sosial

Cerita sosial dengan gambar daripada klinik gigi yang sebenar dapat membantu anak anda. Penerangan ringkas tentang apa yang bakal berlaku adalah cara yang baik untuk berkomunikasi dengan anak autisme yang memerlukan sokongan visual.

5. Lawatan Awal

Anda juga boleh membawa anak anda ke klinik gigi tersebut sebelum tarikh temu janji yang ditetapkan. Sesetengah anak autisme mungkin perlu datang dahulu ke klinik tersebut, bertegur sapa dengan kakitangan klinik dan beredar setelah mendapat pengalaman positif. Anda boleh melakukan reinforcement kepada anak anda dengan cara memberikannya pelekat atas pencapaiannya.

6. Contoh teladan

Sesetengah keluarga mendapati bahawa membawa anak autisme mereka ketika menjalani pemeriksaan gigi membolehkan anak tersebut menjadi lebih percaya dengan proses tersebut apabila tiba gilirannya pula nanti.

7. Mainan sokongan

Bawa bersama apa sahaja yang diperlukan oleh anak anda untuk keselesaannya. Sekiranya mereka mempunyai selimut kegemaran, mainan atau apa sahaja yang mereka sukai, bawa ia bersama-sama dan biarkan anak anda memegangnya pada setiap masa.

8. Sokongan deria

Anda boleh cuba menggunakan fonkepala untuk mengurangkan pendedahan anak anda kepada kebisingan atau memakaikannya kaca mata hitam untuk mengurangkan pendedahan kepada lampu pemeriksaan gigi yang sangat terang.

9. Penunjuk masa

Anda boleh menggunakan penunjuk masa visual atau bunyi seperti jam pasir atau jam loceng untuk membantu anak anda memahami bahawa proses ini mempunyai had masa dan doktor gigi tersebut tidak akan menyeksanya untuk selama-lamanya.

10. Berehat

Ambil rehat yang kerap. Jika anak anda memerlukan rehat dari semua pergerakan, lampu dan bunyi, minta kerjasama doktor untuk membenarkan anak anda berehat walaupun beberapa kali dalam satu sesi rawatan.

Pun begitu, dalam beberapa kes, anak autisme mungkin tidak dapat memberikan kerjasama langsung walaupun anda telah mencuba pelbagai cara untuk mempersiapkan mereka. Mereka mungkin berasa terlalu tertekan dan sangat sensitif dengan segala ransangan deria yang dirasai semasa rawatan gigi. Dalam kes tertentu seperti ini, doktor gigi anda mungkin mencadangkan sedatif atau pelali sebagai penyelesaian.

Sumber: Hello Doktor

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...