loading...

Anwar Selamat Jalani Dua Pembedahan

ISTANBUL: Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini selamat menjalani dua pembedahan termasuk pada bahu kanan yang mengalami kecederaan serius pada kaf rotor.

Dalam pembedahan di Medipol Mega University Hospital itu, Anwar turut menjalani pembedahan mikro bagi merawat sakit belakangnya yang kronik akibat kegelinciran disk.

Pakar kardiologi peribadinya, Prof Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad, berkata pembedahan berjaya kerana Anwar tidak berdepan masalah koronari.

“Fungsi jantung beliau berada pada tahap normal tanpa penyempitan saluran koronari arteri yang signifikan, sekali gus membolehkan beliau menjalani kedua-dua pembedahan terbabit.

“Beliau berada dalam keadaan ceria dan beransur pulih berikutan pembedahan lancar tanpa komplikasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Berdasarkan gambar yang dikongsi selepas pembedahan itu, isteri Anwar yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut menemaninya di hospital.

Dr Wan Azman berkata, Anwar perlu menjalani prosedur fisioterapi di hospital terbabit terlebih dulu.

Katanya, Anwar turut menyampaikan penghargaan dan terima kasih kepada pakar yang merawatnya di Malaysia sebelum ini.

Previous
Next Post »
loading...