loading...

Kami Tak Pernah Berhenti Perkasakan BM – Dong Jiao Zong

KUALA LUMPUR: Badan pendidikan Cina berpengaruh Dong Jiao Zong cuba meredakan kebimbangan aktivis bahasa Melayu susulan rancangan kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di sekolah menengah persendirian Cina.

Isu itu disentuh dalam kenyataan bersama Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), yang sering dirujuk sebagai Dong Jiao Zong.

Dalam kenyataan dalam bahasa Melayu dan Inggeris itu, Dong Jiao Zong menegaskan mereka menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dan sentiasa berusaha menggalakkan penggunaannya di sekolah Cina.

“Pada halnya, Bahasa Melayu bukan sahaja merupakan mata pelajaran wajib bagi semua pelajar UEC, bahkan semua Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) turut menubuhkan Kelab Bahasa Melayu untuk menggalakkan pembelajaran dan penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar.

“Di samping itu, kami juga bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menganjurkan pertandingan forum pelajar yang khas untuk penyertaan pelajar-pelajar UEC sejak tahun 90-an dengan tujuan memupuk rasa cinta akan bahasa Melayu.

“Selain itu, pelajar-pelajar UEC juga mengambil bahagian dalam pertandingan koir dan pertandingan esei anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.

“Kesemua ini merupakan usaha kami yang tidak berhenti-henti untuk memperkasakan pembelajaran bahasa Melayu di SMPC,” menurut kenyataan itu.

Dong Jiao Zong juga berkata mereka menerima keputusan kerajaan Pakatan Harapan bahawa pengiktirafan UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM.

“Maka, adalah jelas bahawa pengiktirafan UEC sememangnya tidak menjejaskan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi,” katanya.

Sementara itu, Dong Jiao Zong juga menolak dakwaan sukatan UEC diambil dari Taiwan.

“Pada halnya, sukatan pelajaran UEC mematuhi dan selaras dengan sukatan pelajaran kebangsaan, setiap mata pelajaran UEC ditulis mengikut standard kurikulum dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga merujuk kepada standard pendidikan peringkat menengah antarabangsa.

“Sebagai contoh, mata pelajaran sejarah UEC mengandungi 57.36 peratus sejarah Malaysia dan 42.64 peratus sejarah dunia, ini bermakna lebih daripada separuh isi kandungan mata pelajaran sejarah yang dipelajari oleh pelajar-pelajar UEC ialah sejarah Malaysia,” katanya.

UEC dikeloakan oleh Jawatankuasa Kerja Sekolah-sekolah Menengah Cina (MICSS). Jawatankuasa itu turut dianggotai wakil-wakil dari Dong Jiao Zong.

Previous
Next Post »
loading...