Kredit foto: Instagram Aqasha & Utusan Online
“Dari awal artis ini tidak berkongsi apa pun untuk bantu promosi drama, artis lain boleh sahaja.”
Begitulah luahan penerbit drama, Fadzil Teh yang jelas kecewa dengan sikap seorang pelakon drama Misi Laksa & Laksam yang tidak membantu dalam sesi promosi menerusi media sosial.
Fadzil atau Haji Zeel meluahkan rasa terkilan di akaun Facebooknya.
"Kita tak mahu ambil dah artis yang tak mahu sokong produk sendiri. Minta promosi pun tak mahu. Duit nak mahal," sambungnya dalam nada tidak puas hati.
Dalam kenyataannya kepada portal Harian Metro, Fadzil berkata, pelakon lain bermurah hati untuk sama-sama mempromosikan drama berkenaan sepanjang ia bersiaran.
Kredit foto: kberputar.com
Memandangkan drama tersebut juga adalah produk para pelakon, Fadzil mahu mereka sedar kerja promosi menjadi tanggungjawab bersama walaupun kewajipan itu tidak dinyatakan dalam kontrak.
“Apabila drama berjaya, sedikit sebanyak membantu kelangsungan kerjaya mereka di stesen TV.
"Dalam soal mempromosikan drama di laman sosial, pelakon tidak perlu mengeluarkan satu sen pun. Semua bahan disediakan stesen TV.
“Mereka hanya perlu kongsi dan uar-uarkan saja. Takkan itu pun nak berkira?" katanya.
Difahamkan, sejak mula bersiaran di TV3, pelakon tersebut langsung tidak membantu dalam mempromosikan drama yang masih berbaki beberapa tayangan episod itu.
“Dari awal memang tidak berkongsi apa pun sebagaimana pelakon lain. Kalau nak dibangkitkan soal bayaran, produksi ikut nilai yang diminta tapi apabila masuk bab promosi kenapa perlu culas. Ini membuatkan saya sedikit ralat," katanya.
Walaupun nama pelakon tidak dinyatakan, teraju utama drama berkenaan, Aqasha tampil dengan status terbaru di laman sosial seperti memberi respon kepada apa yang diperkatakan Fadzil.
"Bukan produser sahaja boleh ada kontrak. Pelakon pun boleh buat. Kau bayar aku lambat sehari, aku caj 5 peratus faedah.
"Baru dia tahu menggelupur nak cepat. Masa beri tawaran, buat panggilan macam esok nak kiamat. Masa bayar, dia yang kiamat," tulis Aqasha di Facebook.