Kisah bahtera besar Nabi Nuh as. merupakan salah satu kisah popular yang kerap dijadikan sebagai bahan cerita kepada kita. Walaupun begitu, jika diteliti, terdapat banyak penambahan yang dilakukan sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja, ke atas maklumat yang ada dalam kisah tersebut.
Maklumat-maklumat ini pula kerap kali diperbahaskan, sehinggakan kita terlalu mementingkan perkara yang tak mampu kita jawab dan lari daripada tujuan asal kisah ini diperturunkan kepada kita. Ada beberapa kepercayaan tentang kisah Nabi Nuh as. yang seeloknya kita pandang semula agar dapat sekurang-kurangnya merungkai persoalan yang mungkin selama ini ada pada kita.
1. Berapa lamakah banjir besar itu berlaku?
Menurut beberapa pendapat, banjir besar yang menimpa kaum Nabi Nuh as. berlaku selama 150 hari, menurut sebuah hadis yang berbunyi; Diriwayatkan daripada ‘Ilba’ bin Ahmar, daripada Ikrimah, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma telah berkata: “Adalah bersama-sama Nuh itu di dalam bahteranya 80 orang lelaki bersama ahli keluarga mereka dan mereka berada di dalam bahtera selama 150 hari.”
2. Apa berlaku selepas banjir besar itu?
Selepas belayar selama 150 hari di lautan, kapal itu berhenti di sebuah bukti bernama Bukit al-Judiy lalu Nabi Nuh as. serta pengikutnya menetap di situ selama sebulan sementara menunggu air surut.
3. Berapakah umur Nabi Nuh as. ketika banjir besar itu?
Umur Nabi Nuh as. semasa berlakunya banjir besar itu adalah 950 tahun melalui firman Allah swt. berdasarkan ayat ke 14 surah al-Ankabut yang membawa maksud: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggalah ia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka)”. [al-‘Ankabut:14]
4. Berapakah jarak di antara zaman Nabi Adam as. dengan Nabi Nuh as.?
Nabi Adam as. merupakan Rasul dan manusia pertama di bumi, Nabi Idris as. menjadi Rasul kedua sebelum Nabi Nuh as. menjadi Rasul ketiga. Tidak banyak perkara yang kita ketahui tentang Nabi Idris as. melalui riwayat dan juga kisah yang terkandung dalam al-Quran.
Nabi Nuh as. tersebut di dalam hadis Riwayat al-Bukhari yang membawa maksud : Pergilah kalian kepada nabi Nuh AS kerana Nuh AS adalah rasul pertama yang diutuskan oleh Allah SWT kepada penduduk bumi." (no. Hadith 6861).
Baginda disebutkan sebagai Rasul pertama yang diutuskan kepada penduduk bumi kerana pada zaman beliau, ajaran Islam yang diajar oleh Nabi Adam as. sudah mulai korup dengan penganut-penganut Islam mula menyembah patung-patung orang-orang alim sebelum itu, menjadikan umat Islam pada waktu itu syirik.
Dalam satu kisah, Rasulullah SAW ditanyakan, "apakah Adam itu termasuk daripada seorang Nabi?” Baginda SAW bersabda, “Benar.” Lelaki itu bertanya lagi, “Berapa jarak antara Adam AS dengan Nuh AS?” Rasulullah SAW bersabda: “10 kurun”. (Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 6190)
5. Benarkah Nabi Nuh as. salah seorang daripada Rasul yang bergelar ulul-azmi?
Ya. Dalam kalangan Rasul sendiri ada tergolong satu kelompok yang dikatakan ulul-Azmi kerana telah melalui ujian yang memerlukan tahap kesabaran paling tunggi, bagi menyebarkan agama Islam kepada kaum mereka.
Menurut ayat 35 surah al-Ahqaf; Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul "Ulil-Azmi" (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu) - ini adalah peringatan Allah swt. kepada Rasulullah saw. dalam menyebarkan Islam.
Ada 5 orang Rasul yang diletakkan ke dalam golongan tersebut -Nabi Nuh as., Nabi Ibrahim as., Nabi Musa as, Nabi Isa as., dan Nabi Muhammad saw. berdasarkan kepada ayat ke 7 surah al-Ahzab.
6. Adakah banjir besar ketika zaman Nabi Nuh as. menenggelamkan kesemua manusia dan seluruh bumi?
Menurut al-Quran, memang jelas keturunan manusia yang ada sekarang, bermula daripada Nabi Adam as. kemudian beranak pinak dalam tempoh 10 kurun di antara Adam as. dan Nuh as.
Bagaimanapun, ketika banjir besar yang melanda bumi, keseluruhan bumi ditenggelami air dengan hanya manusia dan haiwan yang berada dalam bahtera Nabi Nuh as. terselamat. Ini berdasarkan firman Allah swt. yang berbunyi;
(Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: "Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman". Dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja. (surah Huud, ayat 40)
Kesimpulannya, jelaslah bajir besar yang melanda bumi telah menenggelamkan kesemua manusia yang ingkar dengan perintah Allah swt. dan melawan ajaran Nabi Nuh as.
7. Apa pengajaran yang kita dapat belajar daripada kisah Nabi Nuh as?
Kami kongsikan sedikit beberapa perkara yang kami rasakan perlu anda tahu berkenaan kisah Nabi Nuh as. ini kerana pasti kita ada banyak persoalan tentangnya dan apabila hati sudah rajin bertanya, kita susah hendak rasa puas tanpa mendapat jawapannya. Apatah lagi apabila ramai orang yang mahu bertanya berkenaan logik bagaimana Nabi Nuh as. mampu mengumpulkan semua jenis binatang di atas kapal? Apa yang binatang itu makan? Bagaimana Nabi Nuh as. tahu binatang mana yang tidak mandul?
Salah satu soalan yang kerap ditanya kerana manusia mahu mencari logik adalah 'jika binatang pemakan daging tinggal di atas kapal selama 150 hari, apa yang dimakannya kalau bukan binatang lain?'
Persoalan-persoalan lain yang kerap muncul berkenaan bahtera Nabi Nuh as. Tidak logik sebuah bahtera yang diperbuat daripada kayu dan paku mampu menahan air yang mampu menenggelamkan bumi, soal kita. Berapa tingkat kapalnya? Berapa besar kapal tersebut?
Ada banyak perkara yang kita takkan mampu menjawabnya kerana kita sebagai manusia, perlulah menerima yang akal kita terbatas. Usahlah kita terlalu terikut-ikut hendak membincangkan tentang perkara-perkara tidak penting yang mampu membuatkan kita lari daripada tujuan asal kisah Nabi Nuh as. ini diceritakan - bagaimana sesuatu kaum itu boleh diazab selepas peringatan-peringatan diberikan, yang tidak diendahkan oleh kaum Nabi Nuh as.
Nabi Nuh as. adalah Rasul yang paling panjang usianya dan ketika banjir besar itu berlaku, umur Baginda adalah 950 tahun. Untuk orang manusia zaman sekarang, pasti perkara itu mudah diambil tidak logik.
Untuk mereka yang beriman, kita pasti tahu Allah swt. lebih Maha Mengetahui.
Rujukan
Irsyad Fatwa