KUALA LUMPUR – Bekas penyanyi era 1980-an, Ben Nathan yang popular dengan lagu Stanza Sekeping Hati dan Penantian Satu Ilusi hidup sebagai gelandangan di kaki lima sekitar ibu negara termasuk Pasar Seni, Brickfields, Masjid Jamek dan Ampang, sejak lima tahun lalu.
Berdasarkan video berdurasi 32 saat yang dimuat naik melalui akaun Facebook Mannin Mainthan Malaysia (MMM), keadaannya kelihatan amat jauh berbeza berbanding penampilan ketika bergelar penyanyi terkenal dahulu.
Video berkenaan kini menjadi tular dan telah ditonton lebih 60,000 orang serta dikongsi hampir 1,400 orang.
Beliau yang pernah mencipta nama di arena hiburan tempatan suatu ketika dahulu dikatakan memeluk Islam dan menggunakan nama Ben Adam.
“Beliau kelihatan normal pada saya dan mengingati saya, bercakap kisah-kisah lama tetapi apabila saya menawarkan bantuan, beliau enggan mengikut saya dan memberikan pelbagai alasan.
“Kali kedua menemuinya di Brickfields, saya menawarkan pertolongan dan sekali lagi beliau memberikan alasan. Saya amat bersimpati dengannya. Beliau amat berbakat dan merupakan seorang penyanyi yang bagus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.
Jelas beliau, antara langkah yang akan diambil oleh pihaknya adalah menghantar surat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memohon untuk menempatkan Ben Nathan di mana-mana rumah kebajikan.
“Ini adalah langkah terbaik boleh diambil setakat ini bagi memastikan nasib penyanyi tersebut mampu dibela memandangkan Ben enggan menerima bantuan dan pertolongan yang dihulurkan oleh saya.
“Bukan itu sahaja, mungkin JKM boleh membawa Ben untuk menerima rawatan di Hospital Bahagia sekiranya terbukti mempunyai masalah kesihatan mental,” ujarnya.
Menurutnya lagi, orang ramai juga diseru supaya berhenti daripada membuat andaian dan spekulasi mengenai kisah hidup Ben Nathan yang menyebabkannya kini hidup sebagai gelandangan. – UTUSAN
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW