SHAH ALAM – Bagi melaksanakan undang-undang Islam, tidak memerlukan sebarang ‘survey’ atau kaji selidik terutama kepada masyarakat sebaliknya bentang sahaja di dalam dewan yang sudah diwakili wakil rakyat.
Demikian pandangan penganalisis undang-undang, Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar yang kurang bersetuju dengan pendapat beberapa ahli akademik berkaitan pelaksanaan undang-undang Islam yang perlu meminta pandangan masyarakat secara mutlak terlebih dahulu.
Beliau berkata, Rang Undang-Undang 355 (RUU355) bukanlah undang-undang baharu sebaliknya ia sudah sedia ada dan hanya memerlukan pindaan.
“RUU355 bukan hudud. Ia hanya mahu memperkasakan kuasa mahkamah syariah. Walaupun negara ini mengamalkan konsep demokrasi dengan membenarkan sesiapa sahaja memberi hujah, namun saya berpendapat, isu sebegini tidak perlu disanggah.
“Kenyataan sebeginilah boleh memberi impak bukan sahaja dari kalangan umat Islam malah kepada yang bukan Islam juga,” katanya kepada Sinar Online.
Beliau berkata, seharusnya tidak berlaku penentangan dan paling penting ia tidak bersifat peribadi mahupun politik.
“Jika orang Islam diberi pilihan untuk dihukum, bagaimana pula presepsi masyarakat bukan Islam?
“Dalam bahasa mudah, pelaksanaan ini adalah secara mutlak dan perlu disokong. RUU355 dipinda bertujuan mendidik umat Islam untuk tidak melakukan kesalahan jenayah atau apa juga bentuk kesalahan,” katanya.
Katanya lagi, pada pembentangan yang dijangka Mac depan, ia perlu disokong semua ahli Parlimen yang mewakili suara rakyat.
Terdahulu, Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abd Hamid mempersoalkan mengapa orang Melayu/ Islam tidak diberi pilihan berkaitan soal undang-undang Islam.
Menurutnya, mekanisme sebeginilah yang menimbulkan masalah di kemudian hari.
“Masalah berlaku apabila terdapat penguatkuasaan, saya tekankan ayat ‘force’ (paksa).
“Kenapa kita harus paksa undang-undang ini pada mereka yang menolaknya?” katanya ketika forum ‘Sejauh Mana Anda Memahami Hudud’ di Dewan Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya.-Sinar
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW