JAKARTA – Rakyat Indonesia mula mengundi hari ini, dengan gabenor ibu kota negara itu mempertahankan jawatannya pada pilihan raya yang dilihat sebagai ujian toleransi agama di negara paling ramai umat Islam di dunia berkenaan.
Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok, yang dibicarakan atas tuduhan menghina agama, berdepan dua pencabar Islam terkemuka dalam persaingan memimpin bandar raya Jakarta yang mempunyai 10 juta penduduk pada pilihan raya tempatan yang diadakan di seluruh negara.
Bagaimanapun, persaingan sengit dalam undian di Jakarta yang disemarakkan dengan dakwaan bahawa Purnama, gabenor berketurunan Cina dan bukan beragama Islam pertama dalam tempoh setengah abad, menghina al-Quran.
Dakwaan itu mendorong ribuan penduduk Islam mengadakan bantahan di jalan raya dalam tunjuk perasaan besar tahun lalu, dan Purnama dibicarakan dalam kes yang dikritik sebagai tidak adil dan bermotifkan politik.
Beliau tidak dilarang bertanding untuk pemilihan semula tetapi tinjauan mendapati sokongan kepadanya berkurangan, dan pilihan raya itu kini dilihat satu ujian sama ada pluralisme dan tolak ansur beragama di negara itu semakin terhakis.
“Wujud pertembungan antara mereka yang mahukan toleransi dengan mereka yang menolaknya,” kata Pengarah Penyelidikan Kumpulan Hak Asasi Institut Setara, Ismail Hasani.
Pusat undian dibuka pada jam 7.00 pagi waktu tempatan dan ditutup jam 1 tengah hari. Kiraan awal undi yang disiarkan tengah hari ini akan memberikan petunjuk kedudukan calon, walaupun keputusan rasmi cuma diumumkan pertengahan bulan depan. – AFP
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW