Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman menasihati umat Islam tidak menggunakan ‘penjual agama’ untuk membantu membacakan doa, khususnya di Mekah.
“Maksudnya kalau macam itu punya perniagaan, ia tak menguntungkan di akhiratlah kalau dia nak jual agama dalam bentuk itu. Tapi amalan (doakan) boleh buat. Amalan ini kalau nak buat kenalah (pengirim doa tu) ikhlas.
“Maknanya amalan tak salah, cuma (bila dijadikan) perniagaan, itu tidak disuruh oleh agama. Seolah-olah menjual ayat al-Quran.
“Kalau nak cari duit, sampai bukan syarikat, kita nasihatkan supaya cari (umat Islam) orang lainlah untuk tolong doa.
“Kalau tolong doakan, (kita) bagi duit itu sedekah. Kalau dia nak berdoa tapi minta duit, itu bukan ikhlas.
“Kalau tak ikhlas, sampai ke tidak doanya,” katanya kepada Malaysiakini.
Abdul Rahman berkata demikian ketika ditanya mengenai perkhidmatan Valet Doa yang tular kerana menyediakan perkhidmatan kiriman doa untuk dibacakan di Tanah Suci.
Menurut penjelasan pemilik akaun terbabit, Nasrin Harin, atau lebih dikebali sebagai Haji Arin, perkhidmatan itu diwujudkan untuk memudahkan mereka yang tidak berkemampuan ke Mekah dan berdoa di sana.
Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad semalam menggesa pihak tersebut segera menghentikannya kerana tidak menepati Islam yang sebenar.
“Setelah kami meneliti isu Valet Doa yang disertakan pula dengan pakej-pakej dengan harga yang berbeza seolah-olah mengikut tahap kemustajaban doa.
“Dengan ini kami berpendapat, ia adalah sama sekali tidak menepati Islam yang sebenarnya, dan tidak mengikut syariat.
“Kami sarankan anjuran dan perniagaan seperti ini hendaklah dibatalkan agar Islam dilihat sebagai agama yang benar-benar mengikut neraca syariatnya dan terhindar daripada fitnah-fitnah dan eksploitasi ibadah,” kata Zulkifli dalam penjelasannya semalam.
Jelasnya, tiada dalam sejarah dan juga adab di kalangan para sahabat berbuat demikian.
Katanya, Ketika Rasullulah ingin mengirim doa kepada Saidna Umar, beliau tidak mengenakan sebarang syarat kewangan, upah atau bayaran.
Berdasarkan status di akaun Facebook, perkhidmatan itu boleh didapati dengan harga sekitar RM250 sehingga RM5,000, mengikut pakej-pakej yang telah ditawarkan.
Antara pakej tersebut adalah pakej King Salman dan pakej VVIP malah, pengirim boleh memilih mana-mana tempat di Tanah Suci untuk doa mereka dibacakan.
Menjawab persoalan itu, Zulkifli berkata pakej yang ditetapkan oleh pengendali laman Facebook itu sangat tidak berakhlak dan seolah-olah mengeksploitasi doa.
“Kami juga melihat, penamaan pakej-pakej seperti Pakej Raja Salman dan Pakej VIP adalah sangat tidak berakhlak dan mengelirukan. Sementelahan lagi, ia jelas menunjukkan sifat komersialnya dan manipulasi doa,” katanya.
Menjawab soalan Malaysiakini, Hasrin semalam tetap mahu meneruskan perkhidmatannya walaupun berdepan kecaman orang ramai dan teguran alim ulama.
Mengulas pandangan Zulkifli, Hasrin berkata mufti itu tidak menyebut dengan jelas sama ada perkara itu haram di sisi Islam.
“Ya (akan teruskan) sebab mufti pun tak berani cakap haram, sebab tidak langgar syariat. Cuma dia takut fitnah orang ke atas agama.
“Pendapat saya jika boleh dibuat dengan baik, jadikan contoh, ada kebaikan.
“Jadi kami ada dalil masing-masing,” katanya melalui pesanan WhatsApp.-Malaysiakini
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW