PETALING JAYA – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku bertanggungjawab membentuk imej “jahat” DAP di mata orang Melayu.
Beliau berkata, selepas negara mencapai kemerdekaan, orang Melayu takut ditinggalkan kaum lain.
Justeru, ia menjadi punca kerajaan ketika itu cuba untuk memperkasakan mereka melalui pendidikan, peluang pekerjaan dan perniagaan.
Bagaimanapun, perasaan takut tidak pernah hilang dan Dr Mahathir mengakui menggunakan, dengan memburukkan imej DAP. Ini kemudian diteruskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, katanya.
Beliau berkata pengundi Melayu takut mengundi DAP kerana mereka fikir jika parti itu menang, Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri.
“Oleh itu, orang Melayu takut DAP. Saya sendiri sedikit sebanyak menyumbang kepada reputasi buruk DAP.
“Saya menggambarkannya sebagai sebuah parti jahat yang mahu menguasai Malaysia dan tidak mengambil berat tentang nasib orang Melayu,” kata pemimpin berusia 91 tahun di ceramah DAP-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Alor Star pada sabtu.
Namun, kata Dr Mahathir yang kini merupakan pengerusi PPBM, parti yang membentuk pakatan dengan Pakatan Harapan, berkata apa yang diakukan adalah amalan biasa dalam politik.
“Jika kita mahu menang, kita perlu memburuk-burukkan lawan. Mereka juga melakukan perkara yang sama kepada saya.”
Beliau berkata mereka memanggilnya “Mahafiraun”, “Mahazalim” dan “menuduh saya macam-macam perkara”.
“Apabila kita bertanding, kita perlu menunjukkan pihak lawan tidak baik, dan kami adalah pihak yang baik. Ini berlaku di mana-mana.
“Tetapi kita mendapati yang baik boleh menjadi buruk. Dan ini yang kita lihat, “katanya merujuk kepada Umno.
Menurut Dr Mahathir, Umno pernah menjadi parti yang baik yang menyumbang kepada pembangunan negara.
Dr Mahathir menjadi presiden paling lama berkhidmat dengan Umno. Beliau meninggalkan parti itu tahun lepas dengan mendakwa ia bukan lagi untuk orang Melayu tetapi kini parti yang memenuhi kepentingan perdana menteri.
Beliau kemudian membentuk PPBM dan mengetuainya dengan bantuan bekas timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, anaknya Datuk Seri Mukhriz dan bekas ahli Umno yang lain. – Fmt
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW