PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr. Ahmad Zaid Hamidi mengesahkan lelaki bernama Kim Chol yang maut Isnin lalu adalah Kim Jong-Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dengan individu berkenaan mempunyai dua identiti sah dari Korea Utara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, pasport mangsa yang menggunakan nama Kim Chol itu adalah pasport yang sah dan bukannya palsu.
Jelas beliau, punca kematian mangsa bagaimanapun perlu diserahkan kepada siasatan polis dan laporan forensik.
“Korea Utara menerusi kedutaannya telah membuat permohonan kepada PDRM bagi menuntut mayat mendiang namun kita perlu menunggu sehingga laporan forensik selesai.
“Insiden ini tidak menjejaskan hubungan Malaysia dan Korea Utara dan kami cuba membantu mengikut perjanjian dan undang-undang antarabangsa sedia ada.“ katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Media melaporkan kematian Jong Nam di KLIA2 kira-kira pukul 8 pagi Isnin lalu ketika sedang berada di balai berlepas untuk menaiki penerbangan ke Macau selepas masuk ke negara ini pada 6 Februari lalu.
Berhubung penangkapan dua suspek dalam kes tersebut, Ahmad Zahid memberitahu, beliau menyerahkan pihak polis untuk melengkapkan siasatan.
“Setakat ini, siasatan mendapati identiti kedua-dua wanita yang ditahan itu adalah sahih dan bukan palsu, namun siasatan akan diteruskan,” katanya.
Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat hari ini mengesahkan dua wanita warga asing ditahan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut. – UTUSAN
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW