KUALA LUMPUR: Pelawak Nabil Ahmad, menjelaskan foto beliau mencium isterinya, Nazirah Ayub, yang tersebar di internet bukan datang daripada laman sosial miliknya.
Nabil, 34, berkata foto terbabit dimuatnaik oleh jurugambar yang merakam gambar mereka ketika bercuti di Venice, Itali, minggu lalu, dan kemudian disebarkan oleh individu lain.
“Saya tidak pernah memuatnaik gambar itu. Bukan saya, tetapi jurugambar yang merakam gambar kami yang meletakkannya di Instagram beliau.
“Tetapi, orang lain pula yang menyebarkan gambar itu. Jadi, ia bukan salah saya. “Saya sendiri takkan memuatnaik gambar yang boleh memberikan persepsi negatif terhadap masyarakat,” katanya yang dihubungi BH Online sebentar tadi.
Pagi tadi, nama Nabil menjadi bualan netizen yang menganggap beliau tidak menjaga sensitiviti masyarakat tempatan apabila memuatnaik foto mencium isterinya di kota percutian berkenaan.
Ramai yang menyerang kredibiliti Nabil sebagai seorang bergelar Haji, namun masih tidak tahu membezakan perkara baik atau tidak untuk dikongsikan bersama orang ramai.
Sementara itu, Nabil tidak mengambil perkara itu secara serius kerana baginya, apa yang dilakukannya dengan isteri tidak perlu dijadikan bualan.
“(Mereka) yang banyak bercakap itu, lebih baik perbaiki diri. Saya tidak tahu nak komen apa kerana saya tak peduli pun apa yang orang kata. Bukan saya yang memuatnaik gambar itu.
“Apabila sudah berada di ‘kota cinta’, jadi pastinya ada detik manis di antara saya dengan isteri. Kebetulan pula jurugambar yang berada bersama kami merakam momen berkenaan. Mungkin dia berasakan ia romantik, lalu memuatnaik foto itu di Instagram,” jelasnya lagi.-Bharian
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW